Bola SepakSukan

Mat Yo saman NSTP berhubung artikel memfitnah

PENYERANG veteran kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Yo’ memfailkan saman  terhadap The New Straits Times Press (M) Berhad dan dua pengarang akhbar tempatan itu atas dakwaan menerbitkan artikel fitnah terhadapnya.

Norshahrul, 34, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu pada 27 April lepas menerusi Tetuan The Chambers of KK Tan dengan menamakan syarikat penerbitan itu, pengarang kumpulan New Straits Times Ahmad Lokman Mansor dan pengarang akhbar itu, Farah Azharie sebagai defendan pertama sehingga ketiga.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli hari ini yang kemudiannya menetapkan 22 Julai depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing oleh Bernama, Norshahrul berkata selepas tamat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Pahang pada 30 Nov 2019, beliau telah mendapatkan khidmat ejen bola sepak profesional iaitu Pro24 Agency bertujuan menguruskan proses pencarian pasukan bola sepak baharu untuk beliau sertai termasuk tatacara dan persiapan perpindahan.

Bekas penyerang Pahang itu mendakwa Pro24 telah mendapatkan tawaran daripada pasukan bola sepak dari Thailand bernama Sukhotai FC namun plaintif tidak bersetuju dengan gaji yang ditawarkan kerana tidak memenuhi kehendaknya dan tawaran daripada Sukhotai FC itu ditolak.

Norshahrul mendakwa beliau kemudiannya dihubungi oleh Pengarah Urusan Offside Sports Management, Abdul Halim Abdul Shukor yang menawarkan diri untuk menjadi ejen kepada plaintif dan pada 10 Jan lepas, ejennya itu memaklumkan mengenai tawaran daripada pasukan bola sepak dari Thailand, Bangkok Glass (BG) Pathum United dan plaintif bersetuju dengan tawaran itu serta kontrak antara mereka telah ditandatangani pada 16 Jan lepas.

Dakwa plaintif, akibat penularan wabak COVID-19, liga bola sepak di Thailand ditangguhkan dan pihak BG Phatum United telah memanggil kesemua pemain untuk berbincang mengenai beberapa perkara termasuk isu pemotongan gaji dan ketika itu, plaintif cuba menghubungi Abdul Halim tetapi gagal serta tindakan ejennya menghilangkan diri menyebabkan plaintif membawa isu berkenaan kepada pihak akhbar supaya beliau mengetahui bahawa plaintif sedang cuba menghubunginya.

Norshahrul mendakwa pada 11 April lepas, kesemua defendan telah menerbitkan artikel bertajuk Norshahrul’s agent disappears amid pandemic dan pada tarikh sama, Abdul Halim memberi maklum balas di Facebook miliknya antara lain membuat beberapa dakwaan bahawa beliau bukan menghilangkan diri tetapi berdiam diri kerana terdapat on going case (kes yang masih berjalan) antara beliau, plaintif, Pro24, BG Phatum United dan Persatuan Bola Sepak Thailand.

Dakwa plaintif dakwaan Abdul Halim adalah tidak benar dan menimbulkan tanggapan seolah-oleh kes sedang berjalan di antara plaintif dengan Pro24 dan dakwaan itu telah menarik perhatian pihak media khususnya defendan-defendan.

Norshahrul seterusnya mendakwa pada 13 April lepas, kesemua defendan telah menerbitkan artikel bertajuk Norshahrul sued by Thai agent yang mengandungi pernyataan-pernyataan fitnah merujuk kepada plaintif yang diterbitkan secara dalam talian dan turut disebarkan melalui Facebook dan Twitter yang dikawal oleh kesemua defendan.

Plaintif mendakwa artikel memfitnah itu antara lain menyatakan bahawa beliau telah disaman oleh Pro24, dihalang keluar dari Thailand sehingga kes selesai sedangkan plaintif mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang surat tuntutan dengan kes yang kononnya telah difailkan oleh Pro24 di Thailand.

Dakwanya,  tajuk dan kandungan artikel memfitnah itu adalah tidak benar dan ia menyebabkan nama baik serta reputasinya selaku pemain bola sepak tercalar dan plaintif juga menyatakan adalah wajar jika kesemua defendan mendapatkan penjelasan daripadanya sebelum menerbitkan artikel berkenaan namun mereka gagal berbuat demikian.

Norshahrul mendakwa sehingga kini, artikel fitnah itu masih belum ditarik balik daripada laman sesawang yang dikawal oleh defendan-defendan.

Plaintif menuntut ganti rugi antaranya ganti rugi teladan, ganti rugi kerana memfitnah, faedah, satu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada meneruskan penerbitan artikel yang sama dengan penerbitan artikel memfitnah, kos serta relief lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

(Visited 421 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button