Politik

PAU Harus Fokus Untuk Sediakan UMNO Sebagai Parti Terkuat Menjelang PRU-15

Persidangan Agung UMNO (PAU) kali ini haruslah bertujuan untuk menyediakan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Fokus untuk tahun 2022 tidak harus tertumpu kepada pemilihan dalam parti, budaya singkir-menyingkir atau mengagihkan segala jawatan dan habuan.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, fokus sebenar parti adalah bagaimana UMNO boleh kembali memenangi PRU, menjadi kerajaan dan memimpin negara.

“Saya yakin dan benar-benar percaya kita boleh berjaya. Tidak mudah, tetapi boleh. Sudah tentu ada cabaran dan halangan. Lautan mana yang tidak bergelora.

“Tetapi kalau kita bersedia dengan rapi dan teliti, serta bekerja kuat, nescaya tiada bukit terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah terlalu curam untuk dituruni,” katanya.

Mohamad Hasan berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Mohamad Hasan juga mengingatkan ahli UMNO bahawa terdapat cabaran yang sangat besar seperti BN yang UMNO dukung tidak seperti dahulu.

“Di sebalik kemenangan besar di Melaka dan Johor, kita tidak seperti sebelum PRU 2018. Kita hilang di persada Sarawak. Di Sabah, kita hanya menjadi sebahagian dari Kerajaan, bukan menguasai Kerajaan.

“Tiada lagi ‘safe deposit’ yang menguntungkan BN selama ini dan semenjak tewas, satu-persatu rakan komponen BN meninggalkan kita,” katanya.

Mohamad Hasan menyifatkan pemergian mereka lebih dahsyat dari lagak orang yang membuang sepah selepas habis madunya kerana perginya tanpa belas dan tanpa kias.

“Kita semua terpukul memikirkan apakah selama ini kita benar-benar sahabat dan saudara? Atau BN ini hanya sekadar medan untuk menunggang kuasa?

“Dari 13 parti komponen, kini BN hanya ada 4 rakan karib yang terus kekal yakin untuk bersama. Tidak nampak akan ada penyertaan baharu.

“Saya mengambil kesempatan ini menzahirkan sedalam-dalam rasa penghargaan di atas kesetiaan MCA, MIC dan PBRS. Setia kawan anda semua, adalah luar biasa dan sangat dihargai,” ujarnya.

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button