Politik

Mat Sabu: Tidak ada apa, kerajaan negeri masih selamat

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menegaskan, kerajaan negeri Melaka masih kukuh dan kegagalan usul pada kelmarin telah diselesaikan oleh PKR.

Isnin lalu, Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, menolak usul Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Usul itu hanya mendapat 12 undi berbanding 13 undi yang menolak, manakala tiga lagi tidak hadir.

Susulan insiden itu, Mohamad tetap yakin bahawa kerajaan Melaka pimpinan Adly yang juga merupakan Pengerusi AMANAH Melaka, tidak goyah.

“Insiden itu sebagai perkara ‘biasa’ yang berlaku kepada kerajaan. Ia juga tidak bererti wujud cubaan sabotaj daripada mana-mana ahli Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.

“Tidak, tidak (cubaan sabotaj). Itu biasa berlaku dalam mana-mana kerajaan.

“Tidak ada apa, kerajaan negeri masih selamat. Masalah itu juga diselesaikan PKR. PKR sudah mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mohamad yang juga merupakan Menteri Pertahanan mengulas demikian ketika ditanya mengenai kegagalan kerajaan PH Melaka meluluskan usul dibawa Adly.

Usul tersebut dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dun Melaka Ke-14 kelmarin yang hanya meraih 12 undi menyokong berbanding 13 menolak.

Memetik laporan BH Online semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan dua wakil rakyat PKR yang menyebabkan usul mencadangkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara gagal di Dewan Undangan Negeri, sebagai tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan akan berjumpa atau berhubung dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Adun Machap Jaya, Datuk Ginnie Lim Siew Lin, bagi mendapatkan penjelasan.

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button