Hiburan

Mat London kekal Presiden FDAM bagi penggal 2021-2022

MAT LONDON berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Pengarah filem Malaysia (FDAM) bagi penggal 2021-2022.

Mat London atau nama sebenarnya, Ahmad Ibrahim berjaya mempertahankan jawatannya itu selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan FDAM Ke-23 semalam.

FDAM dalam satu kenyataannya hari ini menyatakan, mesyuarat yang berlangsung di Auditorium Mini P. Ramlee Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dihadiri 48 ahli aktif yang layak mengundi.

Turut dipilih menerajui badan berusia 30 tahun itu ialah Datuk Zulkeflie M. Osman sebagai Timbalan Presiden, Mohamad Zaini Hassan (Ketua Sekretariat), Saradha Sivalingam (Timbalan Ketua Sekretariat) dan Loganathan Kanabaty (Bendahari).

Menurut kenyataan itu lagi, ahli jawatankuasa yang dipilih pula terdiri daripada Roslainur Roslan, Ahmad Hashim, Esma Danial Md Isa dan Sofia J. Rhyland.


Dua lagi ahli jawatankuasa akan diisi secara lantikan oleh presiden.

Ahmad ketika menyampaikan ucapan dasarnya menyentuh mengenai nasib pengamal industri yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, FDAM akan meneruskan program yang telah dimulakan oleh Ahli Majlis Kerja FDAM sebelum ini.

Antara program termasuk mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia untuk menyelaraskan tangga gaji pengarah.

“FDAM juga akan mengadakan usahasama dengan agensi kerajaan serta swasta dalam mempelbagaikan lagi sumber pendapatan ahli dan persatuan.

“FDAM akan turut mengadakan kempen penyertaan golongan muda iaitu pengarah amatur dengan mengadakan program khusus secara inkubasi bersama barisan pengarah profesional FDAM,” katanya. – SM

(Visited 261 times, 2 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button