Ekonomi

Agrobank tawar pembiayaan RM100 juta usahawan bumiputera dalam sektor Agromakanan

SUNGAI BESAR, 22 Julai 2023 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalin kerjasama strategik dengan Agrobank untuk menawarkan pembiayaan bernilai RM100 juta kepada usahawan bumiputera terutamanya dalam sektor Agromakanan. 

Program Kerjasama yang dijenamakan sebagai Skim Pembiayaan Agro MARA (Dana Agro MARA) itu dirangka secara bersama yang akan menggunakan produk sedia ada Agrobank; produk Term Financing-i dan Modal Kerja-i. 

Di bawah Skim Pembiayaan Agro MARA, had pembiayaan adalah bermula dengan RM10,000 sehingga maksimum RM5 juta dengan kadar keuntungan sehingga 4% berdasarkan baki berkurangan dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 60 bulan. 

MARA dan Agrobank mensasarkan 200 usahawan menerima manfaat daripada kemudahan ini sehingga Disember 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta. 

Inisiatif itu sejajar dengan usaha MARA untuk memperluaskan penawaran kemudahan pembiayaan perniagaan dalam bidang Agromakanan kepada usahawan Bumiputera melalui had pembiayaan yang lebih besar serta membantu mereka untuk menjana dan melonjakkan perniagaan ke satu tahap yang lebih tinggi. 

Memandangkan MARA sebelum ini telah menangguhkan pembiayaan dalam sektor Agromakanan, justeru dengan adanya pembiayaan Agro MARA ini, kemudahan tersebut kini kembali dibuka untuk usahawan bumiputera yang berkelayakan. 

MARA yakin memperkasakan usahawan dalam sektor Agromakanan melalui kemudahan pembiayaan yang komprehensif di bawah program itu akan menjana usahawan mahir, secara tidak langsung akan memacu pertumbuhan keupayaan sumber manusia, inovasi teknologi dan produktiviti dalam sektor pertanian yang akan terus meningkatkan ekonomi dan pembangunan negara secara keseluruhan. 

Sementara itu, pada majlis yang sama YAB Perdana Menteri turut menyampaikan mock cek bagi pelbagai skim pembiayaan perniagaan MARA kepada 155 usahawan di negeri Selangor bernilai RM22.4 juta bagi kelulusan setakat Julai 2023. 

(Visited 376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button