Nasional

Mat Kilau meriahkan perasmian Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19

Kemunculan pelakon tersohor, Datuk Adi Putra melakonkan watak Mat Kilau dalam filem box office Mat Kilau dengan jualan tiket mencecah RM90 juta menggegar dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sempena perasmian Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19, malam tadi.

Dia tampil mengejutkan dengan mengungkapkan monolog yang dipetik dalam filem Mat Kilau itu mencuri tumpuan hampir 500 peserta daripada 40 buah negara mengambil bahagian yang bermula hari ini sehingga 31 Julai ini.

Monolog yang disampaikannya jelas bersemangat mencuri tumpuan peserta bagaikan teruja dengan penampilannya itu selepas majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam suasana gilang-gemilang.

Adi Putra penuh bersemangat menyampaikan monolog dalam filem Mat Kilau.

Namun sayangnya kemunculan Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Adi Putera Halim ketika menyampaikan bait-bait dialog berada di satu sudut yang jauh daripada tumpuan orang ramai termasuk tetamu kehormat yang terpinga-pinga ingin melihat pelakon tersebut.

Itu adalah sebahagian daripada gimik pelancaran bersesuaian dengan Kejuaraan Pencak Silat Dunia ketika filem epik itu menimbulkan fenomena Mat Kilau selepas 33 hari ditayangkan di pawagan di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

Mohd. Ali Mohd. Rustam, Prabowo Subianto dan Najib Tun Razak.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Datuk Seri Prabowo Subianto yang juga Menteri Pertahanan Indonesia dan Penasihat Kehormat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara yang hadir Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Induk dan Pelaksana, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Turut sama ialah Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev; Duta Besar Bosnia Herzegovina, Profesor Dr.
Senaid Memic dan Duta Besar Algeria ke Malaysia, Saad Maadi.

Terdahulu majlis dimulakan dengan perarakan masuk 500 peserta daripada 40 buah negara yang mengambil bahagian membabitkan 32 kategori.

Sejurus Megat Zulkarnain, Prabowo dan Sulaiman menyampaikan ucapan serta lafaz perasmian oleh Mohd. Ali, perarakan masuk Keris Mandat Kejuaraan.

Keris tersebut dibawa oleh pahlawan Melayu sebelum diserahkan kepada Prabowo kepada Megat Zulkarnain sebelum disampaikan kepada Yang di-Pertua Negeri.

Sejurus selepas itu, juara dunia 2016, Mohd. Al Jufferi Jamari melafazkan ikrar pesilat sebelum disusuli persembahan empat badan silat iaitu Gayong Malaysia Kebangsaan, Silat Lincah Malaysia, Gayong Patani dan Cekak Malaysia. SM

(Visited 401 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button