JenayahNasionalpilihan

Cubaan tekong guna bot fiber tiada pendaftaran seludup benih kerang digagalkan

PENYELUDUP memang “bekerja keras” tak kala orang lain sedang enak dibuai mimpi.

Manakala pihak berkuasa pula sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan sebarang aktiviti haram yang kebiasaannya memilih waktu sebegini akan dapat dibanteras.

Jadi hasrat seorang tekong untuk menyeludup benih kerang dengan menggunakan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran di sekitar perairan Kuala Perlis, Perlis lewat malam kelmarin berjaya dipatahkan.

Sekaligus 29 guni benih kerang yang bernilai kira-kira RM11,600 telah berjaya diselamatkan sebelum dijual ke negara jiran.

Tekong yang ditahan kerana menggunakan bot fiber tanpa pendaftaran untuk menyeludup benih kerang di sekitar perairan Kuala Perlis. – Gambar Ihsan Zon Matitim Kuala Perlis

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, ini berikutan bot ronda Maritim Malaysia telah tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman, Op Tiris 2.0 dan Op Khas Mardof di sekitar kawasan perairan tersebut.

“Bot fiber tersebut ditahan sekitar 12.30 tengah malam tadi pada kedudukan 0.95 batu nautika dari timur laut muara Sungai Perlis, Perlis,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Kuala Perlis itu melakukan aktiviti menyeludup benih kerang secara haram.

Katanya, bot fiber berkenaan hanya dikemudikan oleh seorang tekong warga tempatan yang berumur 48 tahun.

Antara 29 guni benih kerang di mana setiap satu anggaran seberat 30 kilogram telah berjaya dirampas. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

“Tekong, bot, enjin sangkut dan hasil tangkapan benih kerang di mana yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000 itu telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan,” katanya.

Mohd Hashim berkata, kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan Peraturan 9 (1) (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan menjual apa-apa benih kerang melainkan dikeluarkan lesen untuk mengambil benih kerang.

Benih kerang yang bernilai RM400 setiap seguni yang seberat 30 kilogram ini berjaya diselamat dari dijual di negara jiran. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Katanya, kerang amat penting dalam menjana ekonomi negara dan menjadi penanda aras bagi kepelbagaian biodiversiti dan kelestarian sumber perikanan yang terdapat di perairan kita.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

Artikel berkaitan > RUU Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 dilulus

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button