Politik

KDNK naik hingga 14.2 peratus, gagal apanya – Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri membidas parti lain yang mengatakan kerajaan gagal dalam memacu pemulihan ekonomi negara.

Tanpa merujuk secara khusus tetapi memberi bayangan parti lawan manakah yang mendakwa demikian, Perdana Menteri Ismail Sabri menjelaskan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua meningkat sehingga 14.2 peratus, satu peningkatan yang paling tinggi.

“Hari ini Bank Negara dengan Jabatan Perangkaan telah mengumumkan KDNK suku kedua 2022 adalah sebanyak 14.2 peratus.

“Satu pertumbuhan yang besar suku kedua yang telah kita umum dulu 8.9 peratus. Ini yang telah diumumkan manakala suku pertama, 5 peratus,” katanya kepada pemberita di Kampung Bongkok, Bera, Pahang, petang ini.

Kata Ismail Sabri lagi, “Sekarang KDNK naik daripada suku pertama, suku kedua sehingga mencecah 14. 2 peratus suku ketiga.

“Saya percaya ini kenaikan paling maksima, Jadi, kalau mengatakan kerajaan gagal, gagal yang macam mana,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri berkata demikian usai memberi ucapan di hadapan penduduk orang Asli Kampung Bongkok yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15), 19 November ini.

Di hadapan lebih 700 penduduk orang Asli Kampung Bongkok, Ismail Sabri penyandang dan calon Parlimen Bera atau calon nombor dua pada PRU15 berkata, jelas prestasi menunjukkan kejayaan kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi dalam pasca Covid-19.

“Didorong dengan pembukaan ekonomi, selaras dengan peralihan pasca pandemik dan merangsangkan penggunaan swasta dan pasaran buruh.

“Begitu juga dengan pengangguran pada Ogos 2021, kadar pengangguran ialah 4.6 peratus, bulan lepas 3.7 peratus. Kita kata itu sudah sangat bagus.

“Manakala bulan September 2022, 3.6 peratus. Maknanya lebih menurun lagi dari segi kadar pengangguran,” ujar beliau.

Beliau berkata, ini adalah hasil daripada Program Jamin Kerja dan program-program lain yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memastikan pengangguran dapat dikurangkan.

“Kalau 3.6 peratus boleh dianggap sebagai guna tenaga penuh dari istilah pekerjaan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, orang Asli Kampung Bongkok telah menikmati banyak pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan.

“”Kita prihatin sangat terhadap orang Asli. Siapa yang berjasa kepada penduduk orang Asli Bongkok? Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Orang Asli tidak panggil BN tetapi kerajaan Dacing. Jadi, pilihan raya umum ini, jangan pangkah lain, pangkah Dacing,” kata Ismail Sabri.

Katanya lagi, dari dulu lagi beliau kenal Kampung Bongkok.

“Kita buat jalan yang lebih baik, tiada bekalan air, kita salurkan bekalan air. Kita bina surau, balai raya, gelanggang takraw dan tadika. Tak ada pondok bas, kita bina pondok bas.

“Dulu tadika pun menumpang, sekarang ada tadika sendiri kalau pun hanya ada sedikit murid-murid.

“Kita tahu ada 25 orang muda di Bongkok yang mungkin tidak berminat dengan getah dan kelapa sawit.

“Kita bagi kursus keusahawanan dan rumah PPRT, daripada 180 unit, 25 unit PPRT di Kampung Bongkok,’ kata beliau.

Memuji Tok Batin Osman yang tidak mementingkan diri sebaliknya meletakkan anak-anak buahnya sebagai keutamaan, Ismail Sabri berkata, dua unit rumah PPRT yang diberi kepada Tok Batin, diberikan pula oleh Tok Batin kepada anak-anak buahnya.

“Orang di sini kenal saya. Kali terakhir saya datang ke sini ialah ketika ada program di dewan.

“Program Tanam Semula  yang diusahakan di tanah seluas 194 hektar, 84 peserta adalah orang asli Kampung Bongkok.

“Jadi Bajet 2023 kita peruntukkan RM305 juta untuk masyarakat orang Asli, bukan macam apa yang diperuntukkan oleh Pakatan Harapan (PH) RM100 juta.

“Bajet tahun lepas untuk orang Asli ialah RM274 juta. Orang lain tak biasa dan tak rapat dengan penduduk orang Asli Kampung Bongkok. Saya biasa dan rapat.

“Itulah sebabnya 2,100 orang Asli Bera dapat kelebihan menerusi Program Tanam Semula,” katanya. –  SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button