Uncategorized

Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mula dibuka

Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (MTSFPJ) di Batu 5 Jalan Kuala Perlis yang baharu sahaja siap dibina mula dibuka untuk kegunaan anak kariah dan orang ramai bermula solat Subuh pada hari semalam iaitu jumaat, 12 November 2021 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah bersetuju untuk memberikan kebenaran untuk mengadakan Solat Fardhu dan Solat Jumaat di bangunan baharu berkenaan dengan syarat-syarat Solat Fardhu dan Solat Jumaat hendaklah dilaksanakan oleh Imam yang dilantik oleh MAIPs dengan mematuhi garis panduan dan fatwa yang dikeluarkan oleh MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta Teks Khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan surat kebenaran yang diserahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Takmir JAIPs mewakili Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Ameer Ikhwan Zaini kepada Pengerusi merangkap Imam masjid tersebut, Haji Kamarudin Talib.

Hadir sama di masjid yang dicat berwarna kuning dan berkubah desain ‘ala Russia’ dengan pemandangan indah dan suasana tenang yang bakal dilengkapi teknologi hijau melalui kerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda selaku Yang DiPertua turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada seramai 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan untuk diagihkan melalui Kamarudin yang juga amil kariah tersebut berjumlah penuh RM11,200 dan masing-masing akan menerima RM400 seorang.


Turut dilaksanakan bersempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 33 bagi tahun 2021 itu ialah ceramah “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ berjudul ‘Masyarakat Perlis Benci Najis Dadah’ yang disampaikan oleh Pegawai daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri, Shamsul Akmal Jaafar dan juga promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.

(Visited 77 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button