EkonomiKesihatan

Bilik pembedahan siap dalam masa seminggu

Bilik bedah diperbuat daripada besi mengelak daripada bakteria hidup dipersekitaran

SATU perkara yang mula membuka mata masyarakat berkenaan pandemik Covid-19 ialah kapasti sesebuah hospital untuk menampung pesakit yang tiba-tiba muncul dengan ramai.

Malah, negara maju seperti Amerika Syarikat juga sudah menyatakan kerisauan mereka berkenaan kapasiti kesemua hospital mereka yang dilihat semakin penuh dengan pesakit Covid-19 setiap hari.

Tindakan pantas untuk membina sebuah pusat rawatan adalah sesuatu yang sangat diperlukan terutamanya ketika berhadapan dengan pandemik yang datang secara tiba-tiba ini.

Negara kita sudah mencatatkan sesuatu yang membanggakan sebelum ini apabila berjaya menyiapkan pusat kuarantin dan rawatan pesakit Covid-19 dalam masa tiga hari sahaja.

Percaya atau tidak, kita sebenarnya mempunyai satu lagi kepakaran yang tidak diketahui ramai iaitu kemampuan membina bilik pembedahan dalam masa seminggu sahaja.

Itulah kepakaran yang dimiliki oleh syarikat, Benchmark Medical Equipment yang membina bilik pembedahan modular dengan masa yang singkat dan lebih ‘bersih’ daripada bilik pembedahan konvensional yang sedia ada.

Pengarah Urusannya, Hisham Muddin Mahmud berkata, kebanyakannya masyarakat tidak faham maksud sebenarnya bilik pembedahan (OT) konvensional dan modular.

“OT konvensional biasanya dibina dengan menggunakan bahan seperti batu bata, simen dan menggunakan lapisan antibakteria.

“Manakala OT modular pula diperbuat daripada keluli tahan karat yang tidak mudah tercemar dengan bakteria, sekaligus mampu mengurangkan risiko jangkitan ketika pembedahan dilakukan,” katanya.

Bercerita mengenai OT konvensional yang diperbuat daripada batu bata, menurut Hisham Muddin, bahan binaan yang digunakan itu mempunyai ruang untuk bakteria hidup.

Perkara ini sesuatu yang amat berbahaya kerana bilik pembedahan sepatutnya bersih daripada sebarang elemen yang boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit ketika menjalani pembedahan.

“OT jenis modular pula dibuat daripada keluli tahan karat bermula dari dinding hinggalah ke bahagian siling.

“Malah, masa pembinaan juga hanya selama seminggu bagi yang baharu dan lebih singkat jika menggantikan OT konvensional ke modular,” katanya.

Jelasnya, ada beberapa lagi kelebihan menggunakan OT modular iaitu proses naik taraf yang tidak menyebabkan pencemaran bunyi atau mengganggu OT lain yang perlu digunakan.

Malah, sebarang naik taraf melibatkan penambahan alatan di bahagian dinding mahupun siling juga hanya memerlukan beberapa jam sahaja.

Ujarnya, beberapa negara maju seperti di Eropah, Amerika Syarikat dan Singapura juga sudah beralih arah ke OT modular ini.

“Malah, di Indonesia sendiri, kerajaan negara itu telah menetapkan sejak 2015, semua OT bagi hospital baharu mestilah merupakan jenis modular.

“Boleh dikatakan 30 peratus OT di Indonesia adalah daripada jenis modular dan OT konvensional juga akan ditukar ke jenis yang sama,” katanya.

Buat masa ini, hanya sebuah hospital tempatan yang menggunakan OT modular iaitu di Bandar Kinrara, Selangor.

Hisham Muddin turut memberitahu yang pihaknya kini sedang giat memberikan pendedahan dan melakukan pembentangan kepada hospital termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan OT modular.

“Memang benar, OT modular adalah sedikit mahal berbanding dengan OT konvensional. Tetapi kita mempunyai kepakaran sendiri untuk membinanya dan harga juga murah separuh berbanding jika diimport dari luar negara.

“Jika diletakkan kos penyelenggaraan antra kedua-dua OT, ternyata OT modular jauh lebih murah berbanding konvensional,” katanya.

Tambah Hisham Muddin, kemajuan sepatutnya dapat memberi kelebihan kepada kesihatan manusia dan OT modular mampu mengelak perkara yang tidak diingini pesakit ketika pembedahan berbanding dengan OT konvensional. -SM

(Visited 2,447 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button