BanjirNasional

Masjid, surau, sekolah agama bawah JAIS terjejas, perlu bantuan

SEBANYAK 30 masjid, 60 surau dan 30 sekolah agama dikenalpasti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terjejas teruk akibat banjir yang melanda pada Jumaat lalu. Kesemua bangunan tersebut mengalami kerosakan  dan memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih dengan kadar segera.

KARPET di ruang solat Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam, Selangor ditenggelami air akibat banjir yang melanda. – GAMBAR FB MASJID AL-IKHLAS SEKSYEN 13 SHAH ALAM

Menurut Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad, hampir keseluruhan permaidani masjid dan surau rosak.

“Selain karpet, kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan-bahan bacaan juga rosak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perabot, alatan, siling dan bumbung masjid juga perlu dibaiki agar dapat kembali berfungsi dengan segera.

Katanya lagi, institusi sekolah agama di bawah penyeliaan jabatan berkenaan juga menghadapi situasi yang sama.

Ujar beliau, JAIS menjangkakan angka masjid, surau dan sekolah terlibat yang rosak akibat banjir akan menjadi lebih besar ekoran paras air di beberapa daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor sudah mulai naik sejak pertengahan malam tadi.

Oleh itu, beliau berharap jawatankuasa khas JAIS peringkat negeri dan daerah ditubuhkan serta merta bagi menyelaras jenis dan bentuk bantuan yang perlu dihulurkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Jawatankuaa khas ini juga melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), katanya.

“Jawatankuasa yang bermesyuarat pagi tadi bersetuju untuk mengambil langkah segera menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan mengikut skop dan jenis bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan seterusnya di peringkat pasca-bencana,” jelasnya.

DI luar Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam turut dinaiki air. – GAMBAR FB MASJID AL-IKHLAS SEKSYEN 13 SHAH ALAM

Mohd. Shahzihan berkata, jawatankuasa khas turut membuat keputusan menyalurkan bantuan kelengkapan 210 unit ‘water jet’.

Ini kata beliau adalah bagi kemudahan membersihkan masjid, surau dan sekolah serta bantuan keperluan makanan basah di kesemua PPS di 36 masjid dan surau dari Tabung Infak  Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang berjumlah RM250,000.

“TIJARI, LZS dan TERAS akan terus menyalurkan sumbangan makanan kering dan keperluan harian di PPS yang lain.

“Turut diputuskan dalam mesyuarat ialah penyaluran bantuan kelengkapan pembersihan oleh MAIS dan penggantian karpet masjid dan surau yang terjejas oleh pihak LZS,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan usaha penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, bilik gerakan khas diwujudkan serta-merta.

Tambah beliau, bilik gerakan ini akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi di talian 03-5514 3439 atau 03-5514 3761.

Bilik gerakan akan memberi informasi terkini masjid, surau dan sekolah yang terjejas serta maklumat lain yang diperlukan oleh mana-mana pihak dari dalam dan luar Selangor berhubung hasrat untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir dan institusi-institusi yang terjejas banjir. – SM

(Visited 597 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button