Politik

UMNO terkena badi kuasa

APABILA hilang kuasa dan menjadi pembangkang UMNO menjadi sangat berkesan.

Pengalaman menjadi kerajaan yang panjang memboleh para pemimpinnya berhujah dengan fakta dan data kerana lebih memahami perjalanan pentadbiran negara berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang selama ini adalah di pihak pembangkang.

Ketika itu sangat jelas garis perbezaan kedua-dua blok itu, barisan kabinet yang dibentuk selepas pilihan raya lalu terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman mentadbir negara.

Sedangkan UMNO pula mempunyai barisan pemimpin yang telah melalui proses pengkaderan sewajarnya.

Bagaimanapun apabila PH tumbang, UMNO bergabung dengan Bersatu, Pas, sedikit MC dan MIC serta serpihan komponen pembangkang seperti PKR kerana Perikatan Nasional (PN) dibentuk.

Peringkat awal kerajaan baharu berfungsi dengan baik kerana masing-masing bekerja mahu membuktikan merekalah yang paling layak menguruskan negara dan rakyat telah melakukan kesilapan memilik DAP, PKR dan komponen lain sebagai kerajaan pada pilihan raya.

Bagaimanapun ia tidak bertahan lama hanya sekitar dua bulan percakaran UMNO dengan Bersatu semakin ketara.

Gerakan menekan pemimpin UMNO secara halus termasuk mencari kes-kes untuk mendakwa pemimpin parti berkenaan menyebabkan mereka mulai berang.

Bersatu yang mahu menjadi abang besar, mula bergerak melumpuhkan UMNO dan paling ketara ketika pilihan raya negeri Sabah.

Ketika pengumuman calon sahaja berbelas kawasan mengalami pertindikan calon, bahkan kawasan yang ditandingi UMNO diserbu oleh calon bebas tajaan Bersatu.

Akhirnya UMNO walaupun menang lebih kerusi berbanding dengan Bersatu terpaksa beralah memberi laluan kepada Bersatu melantik Ketua Menteri.

Dalam kekalutan itu timbul pula ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan baharu dan sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

UMNO yang memendam kemarahan kepada Bersatu akhirnya menampakkan belang mereka apabila termakan umpan ditabur Anwar.

Ura-ura sokongan dari UMNO bagi menumbangkan Muhyiddin menyebabkan kekacauan politik yang teruk. Nyaris negara tidak tercebur ke dalam darurat. Jika tidak tindakan bijak raja-raja Melayu, negara akan jahanam.

Sedangkan negara ketika ini masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19 yang turut menjejaskan ekonomi negara menyebabkan puluhan ribu sehari rakyat kehilangan pekerja.

Jumlah syarikat yang gulung tikar langsung tidak berani diumumkan oleh kerajaan walaupun pelbagai inisiatif diambil bagi mengekangnya.

Kekalutan itu reda sedikit apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya semua pihak berkenaan berhenti berpolitik dan memberi tumpuan kepada masalah utama negara iaitu memulihkan ekonomi dan memerangi wabak.

Sekali lagi UMNO termakan umpan kali ini mainan Bersatu. Masing-masing berebut jawatan timbalan perdana menteri yang masih lagi kosong dan kononnya diperuntukkan kepada parti itu.

Ramai yang berharap untuk mengisi kekosongan itu menyebabkan berlaku kekalutan sekali lagi di dalam UMNO.

UMNO yang telah terbiasa berkuasa menunjukkan belang mereka tidak sanggup hidup tanpa kuasa.

Bagaimanapun mesyuarakat majlis kerja tertinggi malam tadi UMNO kembali normal. Tiada cerita berebut jawatan timbalan perdana negeri, tetapi lebih menumpukan kepada memastikan belanjawan dibentangkan bulan hadapan adalah untuk rakyat dan pada masa yang sama memastikan penularan wabak ditangani.

UMNO juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi mahukan mandat dikembali kepada rakyat apabila wabak berkenaan dapat ditangani.

Ini bermakna pilihan raya dilaksanakan dan rakyat yang akan memilih kerajaan baharu dan bukannya ditentukan oleh pemimpin politik yang rendah maruah bermain di dalam banyak kolam dan bersedia melompat parti demi laba ditawarkan dan kuasa yang dijanjikan.

Moga UMNO berjaya keluar dari badi kekuasaan dan kembali kepada asas parti iaitu untuk rakyat.

Kestabilan UMNO penting untuk keseluruhan rakyat. – SM

 

 

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button