Berita

Masjid Jamek Petra Jaya Jadi Lokasi Penghormatan Terakhir Puan Sri Juma’ani

SUASANA pilu menyelubungi Masjid Jamek Petra Jaya pagi ini apabila ratusan hadirin hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jenazah Allahyarhamah tiba di perkarangan masjid kira-kira jam 10.15 pagi, sebelum diusung masuk oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditempatkan di atas pentas khas bagi membolehkan orang ramai serta kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir termasuk Timbalan Premier Sarawak, barisan menteri negeri, wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat, pemimpin NGO, serta orang awam yang turut menzahirkan rasa kehilangan terhadap figura disegani itu.

Upacara bermula dengan perarakan jenazah dari kediaman rasmi Premier di Petra Jaya ke masjid berkenaan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah pada jam 3.34 pagi, dalam usia 76 tahun. Beliau meninggalkan dua orang cahaya mata, seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang perempuan berusia 43 tahun.

Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga rakyat Sarawak yang mengenali beliau sebagai seorang wanita yang lemah lembut, penyayang serta aktif dalam kerja kebajikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button