Politik

Masih relevankah Bersatu ganti UMNO, tanya Maszlee

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Maszlee Malik bimbang dengan masa depan Bersatu. Menurutnya, kewujudan Bersatu adalah untuk menggantikan UMNO di dalam hati orang-orang Melayu.

Bersatu juga ditubuhkan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa, mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

Bagaimanapun apabila Bersatu menyertai Perikatan Nasional matlamat Bersatu untuk menggantikan UMNO boleh dipersoalkan.

“Ketika kita (Bersatu) menjadi komponen penting dalam PH dahulu. Identiti kita jelas, orang Melayu berlindung di rumah Bersatu dalam PH sementara kaum lain boleh berlindung di rumah lain dan kita cuba hidup seadil yang mungkin (walaupun kadangkala kita tergigit lidah).

“Apabila Bersatu dibawa keluar dan menyertai PN lewat hujung Februari yang lalu, saya mula bertanya, masih relevan lagikah identiti yang Bersatu bawa iaitu untuk menjadi parti alternatif orang Melayu dan menggantikan UMNO? Masih terpakaikah lagi idealisme yang diperjuangkan selama ini?” tanya Maszlee dalam satu hantaran di Facebooknya.

Secara jujur Maszlee berkata, beliau kabur melihat arah tuju perjalanan Bersatu ketika ini.

Lebih merungsingkan menurutnya, apabila UMNO dan BN hanya menerima kerajaan Perikatan Nasional sehingga menjelang PRU15 sahaja.

“Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan bahawa mereka melalui Muafakat Nasional akan menggempur semua kerusi-kerusi yang dipertandingkan oleh Bersatu dan sekutu Bersatu di dalam PRU 15 nanti. Perikatan Nasional hanyalah hubungan sementara bagi UMNO.

“Di kala itu, sekiranya kita tidak melakukan apa-apa, soalan saya, di manakah kedudukan Bersatu?

“Ke PH tidak, ke Muafakat Nasional pun tidak. Kita menjadi pihak ketiga yang paling marginal berhadapan dengan dua blok PH dan Muafakat Nasional pada PRU15 nanti. Apakah nasib Bersatu pada waktu itu nanti?” soal Maszlee.

Sementara itu Maszlee juga berkata, tidakkah rakan-rakan dalam Bersatu terdetik rasa gelisah melihat watak-watak yang Bersatu perangi tindakan mereka dahulu kini kembali mendominasi tanpa sedikitpun rasa malu dan bersalah.

Menurut Maszlee, watak-watak tersebut merupakan sebab kewujudan Bersatu iaitu untuk menggantikan mereka, untuk memberikan alternatif kepada politik lama, politik korupsi kepada politik baru yang pernah diilhamkan nama sebagai budaya Bersatu.

“Tidak usah pergi jauh, di dalam pendidikan sendiri lihatlah kes projek solar sekolah luar bandar Sarawak yang sudah mula dibicarakan. Perhatikanlah bagaimana pertelingkahan sesama sendiri berlaku oleh watak-watak yang mahu menyelamatkan diri dari didakwa.

“Sayang sekali perbicaraan kes itu tidak dapat diselesaikan sebelum PH jatuh. Hari ini, watak yang terlibat secara langsung dengan projek tenaga solar tersebut mendapat jawatan sebagai pengerusi GLC (yang juga berkaitan dengan ‘tenaga’),” kata Maszlee.-SM

 

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button