Nasional

Masih degil, ingkar PKP: 568 ditahan – Ismail Sabri

SEMPENA sambutan Hari Deepavali semalam, polis telah menahan 568 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 516 individu telah dikenakan kompaun manakala 49 individu direman dan tiga dijamin.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu demikian dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan lazim yang dilakukan oleh orang ramai ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal yang membabitkan 160 individu dan aktiviti di pusat hiburan (131 individu).

“Kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam (116 orang), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (58) dan rentas negeri atau daerah PKP Bersyarat tanpa kebenaran yang membabitkan 43 individu,” katanya sambil menambah, 62 individu melakukan lain-lain kesalahan.


Katanya lagi, Operasi Benteng yang melibatkan agensi bersepadu iaitu PDRM, ATM, APMM dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Semalam, Ops Benteng telah berjaya menahan 42 PATI dan 250 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Dan agensi-agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujar beliau. – SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button