Nasional

SIPMA medan lahirkan atlet bertaraf kebangsaan, antarabangsa

SEBANYAK 285 pingat emas, perak dan gangsa menjadi rebutan atlet yang menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA 9 ) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikukum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainuren Mohd Nor ketika merasmikan Perkampungan SIPMA 9 di Dewan Kolej Harun Aminurrashid semalam berkata sebanyak lapan majlis sukan institusi pendidikan menyertai kejohanan yang berlangsung hari ini hingga 16 September.

Zainuren melancarkan SIPMA 9 sambil disaksikan Prof Dr Norkhalid dan Prof Madya Dr Mohd Izwan di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah petang tadi.

Beliau berkata SIPMA 9 menyaksikan penyertaan lapan majlis sukan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Sekolah- sekolah Malaysia(MSSM), Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Malaysia( MASISWA), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM), serta Majlis Sukan Kolej Vokasional Malaysia (MASKoV).

SIPMA 9 anjuran Majlis Institut Pendidikan Guru Malaysia itu mempertandingkan sebanyak lapan acara iaitu olahraga, bola sepak, bola jaring, bola tampar, renang, tenpin boling, hoki dan badminton.

Beliau berkata SIPMA membuka peluang bagi pelajar institusi pendidikan Malaysia membabitkan diri dengan lebih kompetitif dalam konteks pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar.

Zainuren (tengah) bersama peserta yang menyertai SIPMA 9

Menurut Zainuren SIPMA yang diadakan dua tahun sekali juga menjadi landasan kepada atlet bertanding peringkat lebih tinggi sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sekali gus mengangkat kecemerlangan sukan negara.

“KPM berperanan memastikan pelajar bergiat aktif dalam sukan tanpa mengabaikan pembangunan akademik selaras dengan Dasar Sukan Negara yang menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) yang ingin melahirkan pelajar yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, semangat, emosi dan jasmani,” katanya.

Sejak SIPMA diadakan sebagai kejohanan sukan bertaraf kebangsaan, katanya, berjaya melahirkan 61 atlet yang mewakili negara bertaraf olimpian sekali gus selaras aspirasi negara.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Hal Ehwal Pelajar IPGM, Dr Ts Shamsul Saniron serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril.

Majlis perasmian diserikan persembahan nyanyian oleh band dari Institut Pendidikan Guru Ipoh berjudul “Rajawali Terbang Tinggi”, “Melompat Lebih Tinggi”. -SM

Baca : UPSI ceriakan anak Orang Asli Kampung Chadak dengan Didik Hibur 3M

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button