Nasional

Terengganu bakal jadi pengeluar rusa terbesar baka Timorensi

LADANG Informasi Veterinar milik kerajaan negeri Terengganu yang terletak di Kampung Bari, Setiu bakal menjadi pengeluar baka ternakan rusa jenis Timorensis terbesar menjelang tahun 2023.

Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim menjangkakan ladang itu mampu mengeluarkan 250 ekor baka rusa tersebut dalam tempoh dua tahun.

Menurut Azman, usaha tersebut dapat membantu penternak rusa kecil-kecilan mendapatkan baka berkualiti dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Ramai rakyat Terengganu telah menceburi bidang itu walaupun secara kecil-kecilan tetapi setakat maklum balas yang kita dapat penternakan rusa merupakan perusahaan yang berpotensi,” katanya.

Menurut Azman, ternakan rusa berpotensi kerana rusa cepa membiak, mempunyai daya tahan tinggi terhadap serangan penyakit dan pulangan ekonomi yang tinggi kerana harga di pasaran tinggi iaitu antara RM65 hingga RM85 sekilogram.

“Oleh itu, walaupun diusahakan secara kecil-kecilan memang potensinya sangat cerah, tetapi yang menghadkan perternakan ini berkembang adalah masalah kekurangan baka,” katanya.

Azman berkata, Projek Ternakan Rusa Nukleus adalah antara program yang dirancang dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.

Projek tersebut dibangunkan pada tahun 2020 dengan kos keseluruhan sebanyak RM725,000.

Oleh itu, beliau yakin masalah kekurangan baka rusa untuk ternakan di negeri itu dapat diatasi sepenuhnya dengan kewujudan pusat ternakan berkenaan.-SM

(Visited 489 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button