Politik

GPS sokong lantikan Ismail dan Hishammuddin

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk SeriHishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, yang turut mengetuai Kluster Keselamatan.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan kedua-dua mereka amat tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang agak panas ketika ini.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Katanya, ia juga diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara ketika kita semua sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Sebagai pemimpin, kita semua perlu sedar rakyat memerhatikan segala apa yang sedang berlaku dan paling penting ramai yang tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara ketika ini.

“Justeru, saya berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka.

“Saya pernah bekerja bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai timbalannya dan mengagumi kepimpinan beliau. Justeru, saya percaya beliau mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugasnya dengan cemerlang sebagai Timbalan Perdana Menterim,” katanya.

Hishammuddin, katanya juga mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis ketika negara berhadapan dengan isu penerbangan MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara.

“Mengambil kesempatan ini, saya turut ingin meminta bantuan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak.

“Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu, selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini.

“Saya yakin dan percaya, pelantikan kedua-dua mereka akan memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara dalam kita semua berjuang melawan COVID-19 demi kebaikan semua pihak,” katanya.

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button