Nasional

UniMAP peroleh geran penyelidikan bernilai lebih RM15 juta – Raja Muda Perlis

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya memperoleh geran penyelidikan dan inovasi bagi tahun lalu iaitu 2019 berjumlah RM15,557,409 dengan sumber dana daripada universiti, pihak kerajaan, industri dan pihak antarabangsa.

Pengiktirafan pihak luar terhadap kualiti inovasi UniMAP dilihat melalui kejayaan para penyelidik memperoleh sejumlah 52 pingat dan 8 Anugerah Khas melalui 52 projek penyelidikan yang dipertandingkan dalam pameran peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa seperti ITEX, PECIPTA, RISE, UTEMEX dan SIIF.

Penyertaan UniMAP ke pameran-pameran penyelidikan telah dapat membantu mempromosi produk penyelidikan dan inovasi UniMAP yang berpotensi untuk dikomersialkan kepada industri dalam dan luar negara. Ia juga membantu meningkatkan keterlihatan universiti berkenaan di persada antarabangsa.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP selepas berkenan berangkat menerima taklimat ‘Program Kreatif Kemahiran Komunikasi Visual (FVS) bagi proses pengajaran, pembelajaran dan pekerjaan abad ke-21’ oleh Lintaq Digital yang dipersembahkan oleh Dr Ruzaimi Mat Rani di Bilik Mesyuarat Bangunan Canselori UniMAP di Kampus Alamnya di Pauh Putra.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Naib Canselor, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor, Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir.

Menurut Badlishah, dari segi penerbitan pula, berdasarkan pangkalan data SCOPUS bagi 4 tahun ke belakang, pada tahun 2016 UniMAP telah menghasilkan 1108 artikel (601 jurnal), pada tahun 2017 sebanyak 1426 Artikel (496 jurnal), pada tahun 2018 sebanyak 1477 artikel (554 jurnal) dan pada tahun 2019 mencecah lebih daripada 1179 artikel (570 jurnal).

Untuk rekod, terkini jumlah keseluruhan kertas penerbitan melebihi 10,447; 56% ialah dalam prosiding persidangan sementara 44% daripada penerbitan dalam jurnal. Bilangan ini juga ialah yang tertinggi dalam kalangan MTUN, dan jika dibandingkan dengan universiti ternama di Indonesia, UniMAP adalah setanding dengan Universitas Gadjah Mada dalam hal ini.

Terdahulu turut diadakan ialah perbincangan di antara Lintaq Digital dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan UniMAP. – SM

(Visited 383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button