Rencah Hidup

Mas kahwin RM500 juta!

BEGITULAH padahnya kalau ego besar atas kepala. Adik sendiri pula tularkan video di aplikasi TikTok rakaman akad nikah seorang lelaki tersasul menyebut mas kahwin sebanyak RM500 juta.

Berasal dari Shah Alam, Selangor, Sameer Danial Nordin yang menamatkan zaman bujangnya pada usia 30 tahun angkuh dan sombong apabila enggan mendengar nasihat kaum keluarga supaya berlatih lafaz nikah.

Kalau tak ego dan sombong, lafaz nikah di Gurun, Kedah pada Jumaat lalu menjadi lebih mudah bagi pengantin lelaki.

“Malam sebelum akad nikah, keluarga meminta saya berlatih tetapi saya angkuh. Saya tak buat.

“Keesokan hariny saya tersasul sehingga tiga kali lafaz akad,” kata Sameer Danial yang akhirnya sah menjadi suami Nurul Nadia Johari, 29.


Sebenarnya mas kahwin yang perlu disebut oleh Sameer Danial ialah RM500, bukan RM500 juta tetapi disebabkan dia gugup ketika menggenggam tangan tok kadi, tersasullah perkataan yang keluar dari mulutnya.

Jelas Sameer Danial, video yang ditularkan itu adalah akad kali kedua selepas kali pertama, dia tersasul menyebut nama sendiri, bukan nama pasangan yang mahu dinikahinya.

“Video tular merupakan lafaz kedua yang saya ucapkan. Itupun saya sedar tersasul apabila ditegur oleh bapa saudara yang duduk di belakang saya.

“Memang kelakar apabila saya melihat semula video tersebut. Saya tidak sangka perasaan gugup menyelubungi diri sehingga terpaksa lafaz akad sebanyak tiga kali,” katanya.

Mengakui sangat gementar pada hari pernikahan, Sameer Daniel  berkata, upacara yang di adakan di perkarangan masjid dan disaksikan ramai ahli keluarga dan saudara mara yang membuatkan dia gugup.

Apapun, dia bersyukur kerana pada akad kali ketiga, semuanya berjalan lancar.

“Ini adalah kenangan manis untuk dikenang sampai bila-bila,” ujarnya.

Walaupun berasa malu kerana video akad nikahnya tular di media sosial namun dia tidak marah atau terasa hati dengan komen-komen penonton warganet terhadap kisah dirinya.

“Sebenarnya saya tidak menyangka adik akan merakam video dan berkongsi pula di TikTok sehingga mendapat perhatian orang ramai.

“Isteri saya pula tidak berhenti-henti menonton video itu dan sempa pula dia membahan saya kerana kesilapan yang saya lakukan,” kata Sameer Daniel. – SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button