Nasional

Pelajar Program empowerNCER-Akademik@Perak Raih Cemerlang SPM 2021

Program empowerNCER-Akademik memberi kesan positif terhadap keputusan peperiksaan SPM 2021 ramai pelajar kalangan B40 dan Orang Asli di negeri Perak mencapai kejayaan yang memberangsangkan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata universiti itu diberi mandat untuk mengelolakan program empowerNCER-Akademik di Perak sejak tahun 2019 hingga kini berjaya memastikan pencapaian akademik pelajar mencapai tahap yang memberangsangkan.

Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

“UPSI sentiasa komited dalam membantu pendidikan negara bagi memastikan tiada murid yang ketinggalan dari mendapat pendidikan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) , Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata program itu memberi penekanan terhadap komponen akademik, kecekapan kemahiran dan pengembangan peribadi pelajar.

Mohamad Haris Kader Sultan

Sementara itu Ketua Eksekutif Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan menjelaskan program empowerNCER-Akademik yang mendapat sokongan padu Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Negeri dan sekolah itu berjaya meningkatkan kadar kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia( SPM) sekali gus meningkatkan bilangan pelajar dalam kalangan B40 ke IPTA.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah pendekatan sangat berkesan bagi menangani kemiskinan masa hadapan di kalangan komuniti Orang Asli.

NCIA, katanya, berharap program itu diteruskan demi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dalam kalangan B40 dan komuniti Orang Asli dalam menyokong seruan kerajaan untuk membasmi kemiskinan Keluarga Malaysia pada tahun 2025.

Antara pelajar yang mengikuti program empowerNCER-Akademik @Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak.

Program empowerNCER-Akademik menyaksikan tujuh daerah terlibat iaitu Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak yang melibatkan seramai 1400 orang pelajar yang menduduki SPM 2021 dari 22 buah sekolah menengah yang melibatkan 182 orang pelajar orang Asli.

Pelajar orang asli Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tapah, Daniel A/l Hamdan antara yang membuktikan mampu menjadi pelajar cemerlang dengan mendapat Keputusan 6A 3B.

“ Tidak ada yang mustahil, kerana usaha tidak mengkhianati hasil dan saya mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan yang saya perolehi daripada penglibatan saya semasa program empowerNCER-Akademik@Perak semasa belajar.

“Menjadi pelajar orang Asli menjadikan semangat saya untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa minoriti seperti kami juga mampu menjadi seseorang yang berjaya,” katanya.

Mohamad Nasral dari Mohd Zulkernain dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdullah yang berjaya meraih 9A berpendapat program Bersepadu Aliran Perdana empowerNCER-Akademik@Perak yang diikutinya di UPSI memberi banyak motivasi dan keyakinan diri saya sebelum menghadapi SPM.

Pelajar cemerlang 9A Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa, Hadi Zarfan Kamaruddin berkata sepanjang menyertai program empowerNCER-Akademik@Perak, suasana pembelajaran secara online dan bersemuka menyeronokkan dan ceria termasuk guru-guru yang sangat membantu pelajar menjadi faktor kejayaannya.

Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Nur Adilah Ahmad Shamsul yang mendapat keputusan 9A, berkata program tambahan bersama Guru Bitara empowerNCER-Akademik@Perak memberi banyak input dan pengetahuan berguna kepadanya dalam menduduki SPM 2021.

Menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdullah, Amir Kamaruddin, program EmpowerNCER-Akademik@Perak banyak membantu sekolah dalam memastikan pelajar sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan.

“Modul yang disediakan oleh pihak penganjur sememangnya berkesan dalam menerangkan setiap kandungan pembelajaran, malah guru-guru juga memberi sokongan yang baik terhadap program empowerNCER-Akademik@Perak, “ katanya.

Sementara itu , Guru Penyelaras Sekolah Menengah Kebangsaan Idris Shah, Kampar, Shahnaz Rashada Abbas berkata pendekatan program yang dilaksanakan membantu pelajar menggunakan masa mereka dengan sebaik mungkin di luar waktu persekolahan dengan pengisian ilmiah yang berguna untuk masa depan mereka.

Ibu kepada salah seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak, Sabariah Mohd Nor melahirkan rasa syukur atas bantuan tablet dan modul SPM yang diberikan kepada anaknya semasa menyertai program empowerNCER-Akademik@Perak.

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button