Hiburan

Mas Idayu Akhirinya Rumah Tangga Secara Rasional, Bukan Ikut Emosi

Mas Idayu tampil menjelaskan bahawa keputusan untuk berpisah dengan bekas suaminya, Muhammad Sufian Che Isa, dibuat secara matang dan penuh pertimbangan, bukan atas dorongan emosi semata-mata. Menurut penyanyi berusia 53 tahun itu, beliau sudah lama memikirkan keputusan tersebut dengan melakukan solat istikharah sejak bulan Rejab tahun lalu dan turut merujuk kepada mereka yang arif dalam soal agama sebelum mengemukakan permohonan cerai.

Mengakui perkahwinannya sangat dihargai, Mas Idayu menyatakan beliau telah berusaha mempertahankan hubungan tersebut selama dua tahun. Namun, selepas menilai pelbagai aspek secara mendalam termasuk berbincang dengan kadi, ustaz dan mutawif, keputusan untuk berpisah akhirnya dibuat atas alasan yang kukuh walaupun tidak diperincikan kepada umum.

Penyanyi dangdut popular itu mendedahkan beliau memfailkan penceraian secara senyap tanpa pengetahuan bekas suami pada awal tahun ini. Namun beberapa hari sebelum ke mahkamah, beliau memberitahu Sufian bagi memudahkan proses perceraian. Mas Idayu turut bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan dan aib rumah tangganya tidak terbuka kepada umum.

Kini, selepas melalui fasa sukar itu, Mas Idayu mengakui dirinya lebih tenang dan bahagia, meskipun tidak dapat menolak perasaan ralat terhadap pihak yang menyokong perkahwinannya terutama mereka yang menaja majlis perkahwinan pada September 2022.

Beliau juga berharap agar kisah rumah tangganya tidak dimanipulasi oleh pihak luar yang tidak mengetahui cerita sebenar. Katanya, tidak adil untuk orang ramai menjatuhkan hukuman atau membuat spekulasi tanpa memahami apa yang berlaku dalam perkahwinannya.

Mas Idayu dan Sufian mula berkenalan ketika program Mentor musim ketiga dan hubungan mereka menjadi semakin rapat sejak 2021 sebelum disatukan sebagai suami isteri. Ini merupakan perkahwinan kedua buat kedua-duanya. Mas Idayu pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka dan dikurniakan seorang anak perempuan, manakala Sufian sebelum ini mempunyai dua anak hasil perkahwinannya bersama personaliti TV, Intan Suraya.

Sumber : Refleks!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button