
Mas Ermieyati Bakal Disaman Oleh MARA
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin atas dakwaan memfitnah agensi berkenaan menerusi kenyataan berunsur tohmahan yang didakwa mencemarkan imej institusi itu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuduhan yang dilemparkan Mas Ermieyati termasuk dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan dana MARA untuk program hafazan, lawatan mengejut serta menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.
“Insya-Allah, barisan peguam MARA akan memulakan prosiding saman kepada beliau. Mula-mula saya ingat malas nak layan, tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. Jumpa di mahkamah YB Mas!” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya lagi, beliau tidak pernah menghalang kritikan terhadap kepimpinannya namun menegaskan bahawa dakwaan berunsur fitnah yang mencalar reputasi institusi Melayu-Bumiputera tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Contohnya tidak wajar seorang pengerusi yang bukan eksekutif terjah ke institusi-institusi pendidikan MARA seperti MRSM, IKM dan KKTM tanpa maklumkan kepada pihak pengurusan kerana akan menyusahkan mereka. Tapi kalau sampai tahap melemparkan fitnah, saya tiada pilihan melainkan mengambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.
Setakat ini, tiada kenyataan balas dikeluarkan oleh pihak Mas Ermieyati berhubung perkara tersebut.
Tindakan saman ini dijangka bakal mencetuskan perhatian umum memandangkan ia melibatkan dua tokoh politik ternama serta institusi penting negara yang menjadi tunjang kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi Bumiputera.