Jenayah

Maritim gagalkan usaha seludup syabu bernilai RM1 juta

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH 25 Mei – Usaha satu sindiket menyeludup dadah dipercayai jenis syabu seberat 26 kilogram (kg)
dianggarkan bernilai RM1 juta ke negara jiran digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan pada 23 Mei lalu.

Pengarahnya, Kepten Iskandar Ishak berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam sebuah beg berwarna kelabu
yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi tebing pantai Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, Selangor
kira-kira pukul 10.00 malam Isnin lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan telah menemui 26 paket berwarna kuning berisi hablur
kristal yang disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata, beg tersebut dipercayai ditinggalkan oleh transporter darat beberapa sindiket berkenaan
minit sebelum diambil oleh transporter laut sebelum dadah tersebut ditemukan oleh lima anggota Maritim
bagi mengagalkan usaha menyeludup ke negara jiran.

Ujarnya, pemeriksaan di sekitar lokasi tersebut tidak menemukan suspek atau bot dan dipercayai telah
melarikan diri.

“Hasil siasatan mendapati dadah berkenaan cuba diseludup ke negara jiran dan dipercayai dadah itu boleh
dibekalkan kepada lebih 56,000 orang penagih.

“Rampasan dibuat berdasarkan maklumat hasil risikan selama dua bulan dan pengesanan aktiviti mencurigakan
di perairan Tanjung Sepat.

“Berikutan itu, aset Maritim seramai lima anggota yang sedang melaksanakan rondaan operasi khas digerakkan
ke lokasi bagi mengesan dan memantau situasi serta suspek,” ujarnya dalam sidang akhbar di ibu pejabat
Maritim di Kuala Linggi di sini hari ini.

Iskandar Ishak menunjukkan lokasi dadah jenis syabu ditemukan oleh lima anggota Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di Tanjung Sepat, Selangor.

Menurut Iskandar, kesemua dadah berkenaan dipercayai ditinggalkan dan akan diambil oleh pihak seterusnya
untuk diseludup ke negara jiran.

“Kita menunggu di tempat kejadian jika ada orang yang akan mengambil namun kita percayai mungkin suspek
ada berdekatan serta menyedari kehadiran kami,” ujarnya.

Beliau menambah, kesemua dadah yang ditemui itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat dan akan
disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Justeru beliau berkata, Maritim akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan
menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button