Nasionalpilihan

Maritim gagalkan cubaan seludup rokok keretek bernilai RM2.95 juta

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 4.27 juta batang rokok keretek dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM2.95 juta di Tanjung Sepat, Selangor Isnin lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, dalam Ops Murni dan Op Tiris pada pukul 11.30 malam itu sindiket berkenaan dikesan hasil maklumat risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut (Swasla).

Menurutnya, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot pancung dari negara jiran bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) menuju ke Tanjung Sepat.

Beliau berkata, aset APMM telah gerakan ke lokasi sejurus menerima maklumat dan berjaya mengejar sebuah bot pancung dinaiki tiga anggota sindiket terbabit.

“Ketika cuba menghampiri bot tersebut tiga suspek dipercayai warga asing itu cuba melarikan diri dan berlaku kejar-mengejar selama 20 minit sebelum bot berwarna kelabu tanpa nombor berkasiti 1,200 kuasa kuda dapat dipintas.

“Tiga suspek bot pancung terbabit bagaimanapun gagal ditangkap selepas mereka terjun ke laut sebelum berjaya meloloskan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Dalam keadaan gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi untuk mengesan kesemua suspek yang berjaya meloloskan diri,” ujarnya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka di sini, hari ini.

Iskandar berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut berjaya menemukan 400 kotak bersaiz besar yang ditutup dengan plastik dan guni disyaki mengandungi rokok seludup.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan rokok keretek pelbagai jenama termasuk sebuah bot dan enam enjin Yamaha berkapisiti 200 kuasa kuda setiap satu dianggarkan bernilai RM3.15 juta.

Jelasnya, hasil risikan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak setahun lalu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan rokok bernilai RM3.3 juta di Tanjung Gabang, Selangor pada 13 April lalu.

Katanya, modus operandi dikesan dilakukan pada waktu malam tanpa mengira keadaan air pasang atau surut, sebaliknya bergantung kepada permintaan pasaran.

“Rokok keretek yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” ujarnya lagi.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan atau duti eksais. – SM

Artikel berkaitan > Perjawatan Maritim Malaysia dijangka diisi sepenuhnya menjelang 2026

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button