Politik

Marina minta DAPSY Sarawak mohon maaf

SETIAUSAHA Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim meminta Pemuda DAP (DAPSY) Sarawak memohon maaf atas insiden ahlinya menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan di Kuching.

Menurut Marina, tindakan sekumpulan pemuda DAPSY itu bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai merosakkan harta awam tetapi juga boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Tegasnya, mereka sepatutnya faham bahawa  bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

“Sebaiknya pemuda DAPSY Sarawak meminta maaf atas tindakan mereka.

“Tindakan anda bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai vandalisme tetapi telah mencetuskan salah faham di kalangan pelbagai rakyat Malaysia. Kena faham bahawasanya bahasa melayu adalah bahasa kebangsaan iaitu bahasa rasmi.

“Untuk apa risau akan pelancong? Salah satu tujuan melancong adalah memahami budaya dan bahasa masyarakat tempatan. Pastinya mereka boleh membaca dan dalam masa sama fahami bahasa kebangsaan sesebuah negara yang unik dan berbeza di setiap negara,” kata Marina di Facebooknya.

Sekumpulan ahli DAPSY Sarawak semalam menampalkan pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya tersebut atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan telah mengundang pelbagai komen daripada netizen.-SM

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button