fbpx
Ekonomi

MARii bantu PKS hadapi era pasca PKP khusus dalam bidang digital

INSTITUT Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia  membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk  meningkatkan tahap pendigitalan, seiring dengan perubahan ekosistem perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan kelak.

Ketua Eksekutif MARii, Datuk  Madani Sahari berkata, pelbagai program peningkatan daya upaya telah dibangunkan agensi kerajaan itu dalam membantu PKS menerapkan teknologi digital di dalam operasi harian.

“Kami sedia  memperluaskan program-program ini untuk membantu lebih banyak syarikat PKS menghadapi era pasca PKP,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut Madani, selepas  PKP berakhir, negara bakal melihat perubahan kepada corak dan tingkah laku pengguna yang mana mereka akan lebih berhati-hati dan lebih cenderung kepada membeli secara online.


“Ini akan mengakibatkan perniagaan yang tidak biasa dengan teknologi menjadi kurang relevan di dalam pasaran,” jelasnya.

Selain itu, penularan wabak COVID-19 juga akan turut mengubah kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) syarikat dalam jangka masa panjang.

“Sehubungan itu, ia bakal meningkatkan keperluan bagi penggunaan teknologi digital di dalam operasi syarikat, seperti analisa data, automasi, pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan penyelenggaran peralatan,” jelasnya.

Bagi menghadapi perubahan tersebut, MARii telah menyediakan program yang bersesuaian untuk PKS dan ini adalah masa terbaik untuk mereka meneroka peluang dan ruang yang ditawarkan itu.

Tambah Madani, pihaknya telah melancarkan dua program sejak tahun lalu bertujuan untuk meningkatkan penerapan teknologi bagi PKS iaitu  Program Pembangunan Teknopreneur (TDP – Technopreneur Development Program) dan Program Platform Teknologi Pintar MARii (MITP – MARii Intelligent Technology Platform).

Menurutnya, TDP adalah untuk memperkasakan penggunaan sistem dan alatan digital di dalam operasi perniagaan.

Jelasnya beliau, sebanyak 10 syarikat mikro, kecil dan sederhana dari industri kraftangan, perabot dan makanan telah dipilih untuk menyertai program selama enam bulan bagi menerapkan teknologi dalam rekabentuk produk, pengurusan operasi, pemasaran dan penjualan secara digital dalam perniagaan masing-masing.

Bagi program MITP pula, ia bertujuan untuk mendokong keperluan infrastruktur teknologi industri 4.0 untuk PKS.

Ia merupakan suatu penyelesaian sehenti bagi syarikat kecil dan besar, dalam mengurus dan mengawal operasi dengan mengguna pakai teknologi industri 4.0, terutamanya dari segi pengurusan data raya (Big Data Management).

Platform ini membolehkan penggumpulan, analisa dan integrasi data dari segala aspek operasi syarikat, bagi mengenalpasti tren dan corak perniagaan secara lebih tepat,  justeru ia dapat membolehkan rangkuman strategi dan keputusan yang lebih arif dibuat oleh pihak pengurusan.

“Program yang dianjurkan MARii dirangkum bagi membantu syarikat mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat tempatan, terutamanya PKS dalam mentransformasi segala aspek syarikat ke arah kecenderungan teknologi yang lebih tinggi.

“Ia terbuka kepada syarikat dari semua sektor, bagi menjamin kelestarian dan meningkatkan daya upaya ekosistem rantaian bekalan secara keseluruhan,” jelas beliau.

Syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai program TDP dan MITP boleh berhubung terus dengan MARii melalui talian terus, laman web: www.marii.my, email:[email protected] atau intragram @MARiiMalaysia. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button