fbpx
Nasional

Marah Ozil simpati kepada Uighur, peminat di China bakar baju

KUALA LUMPUR – Jersi memaparkan gambar dan nama bintang Arsenal, Mesut Ozil dibakar di China. Selepas dibakar video dimuat naik dan dikongsi di sosial media, Weibo.

Masyarakat di China marah kerana Ozil melahirkan rasa simpati dan sokongan terhadap masyarakat muslim Uighur di China yang kini berhadapan dengan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan negara itu yang mahu menghapuskan identiti Islam masyarakat minoriti itu.

Di laman sosial, Weibo, banyak komen yang mendesak agar Arsenal mengambil tindakan ke atas pemain kelahiran Jerman itu yang merupakan seorang penganut agama Islam.

Akaun Instagram milik Ozil turut diserbu oleh warganet negara China yang rata-rata meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap perasaan simpati yang dizahirkan pemain tengah Arsenal itu.

“Penyokong Arsenal di China sangat kecewa dengan apa yang diungkapkan Ozil yang pernah menjadi pemain kesayangan kami. Jika anda (Ozil) cuba menyerang China, kami tidak akan berdiam diri.


“Sebagai penyokong bola sepak dari China, saya sangat kecewa. Kenapa anda tidak fokus kepada bola sepak sahaja? Sebagai seorang pemain yang terkenal, anda sepatutnya tahu apa yang boleh anda katakan,” kata antara komen penyokong Arsenal di Instagram Ozil.

Ozil sebelum ini  telah memuat naik satu status di Instagramnya yang mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi kerajaan China terhadap etnik Islam Uighur di China.

“(Di China) Quran dibakar, masjid, sekolah islam, madrasah ditutup. Ulama seorang demi seorang dibunuh.

“Tetapi orang Islam di seluruh dunia hanya mendiamkan diri,” katanya yang memuat naik kenyataan berlatarbelakangkan bendera Republik Timur Turkestan yang tidak bertahan, selepas menjadi wilayah Xinjiang yang dimiliki oleh China.

Komen Ozil itu, sebelum ini telah menyebabkan perlawanan siaran langsung Arsenal menentang Manchester City di China dibatalkan oleh stesen televisyen di negara itu.

Pengurusan Arsenal juga terpaksa mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan menyifatkan kenyataan Ozil itu tidak menggambarkan pendirian kelab.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button