Luar Negara

Maradona menghembuskan nafas terakhir di sebuah bilik kecil

DIEGO Maradona menghembuskan nafas terakhirnya di dalam sebuah bilik permainan yang sempit setelah ia dijadikan sebagai bilik sementara di tingkat bawah kediaman yang disewa dengan almari pakaian dijadikan sebagai pintu.

Beberapa keping gambar menunjukkan bagaimana almari digunakan sebagai penghalang untuk memberikan sedikit privasi kepada legenda bola sepak yang sakit itu sebelum dia mengakhiri perjalanan kehidupannya yang gemilang dengan pencapaian bersejarah di atas padang.

Anak perempuan Maradona, Jana menandatangani kontrak untuk sebuah kediaman yang disewa selama tiga bulan bernilai 12,000 pound (RM65,434) berhampiran Buenos Aires tidak lama selepas mendiang meninggalkan hospital pada 11 November lepas setelah menjalani pembedahan otak bagi membuang darah beku.

Maradona sepatutnya tidur di sebuah bilik yang selesa dilengkapi bilik air yang telahpun disediakan untuknya.
Namun, dia akhirnya menggunakan sebuah bilik permainan di tingkat bawah kerana berdepan kesukaran untuk menaiki tangga, menurut satu laporan.

Gambar bilik di mana Maradona menghembuskan nafas terakhirnya, Rabu lalu telah dilaporkan media Argentina, semalam.

Menerusi laporan tersebut, sebuah almari pakaian telah dialihkan bagi memisahkan antara ruang tamu dan bilik sementara tersebut, manakala dapur pula terletak di bahagian bertentangan.

Diego, 60, juga tidak mempunyai tandas yang sempurna khusus untuknya di bilik sementara itu. Dia terpaksa menggunakan tandas ortopedik mudah alih yang tidak memerlukannya bergerak terlalu jauh pada waktu malam.

Sebuah televisyen turut dialihkan ke bilik berkenaan bersama kerusi urut. Bilik permainan yang sempit itu memiliki keluasan yang cukup kontras berbanding bilik mewah disediakan untuk mendiang di tingkat atas.

Kediaman yang dilengkapi sebuah taman di bahagian luar, terletak di kawasan San Andres dekat utara Buenos Aires juga mempunyai jaring bola keranjang yang diikat pada sebatang pokok dan gawang bola sepak mudah alih yang hanya mampu direnung jauh oleh bekas bintang Barcelona dan Napoli itu.

Sebuah bingkai yang terletak di atas pemegang kunci di pintu masuk memaparkan sebaris ayat dalam bahasa Inggeris: “Berkatilah rumah ini dengan cinta dan hilai tawa.”

Rakaman terakhir yang menunjukkan ikon bola sepak itu yang diambil jirannya beberapa hari sebelum dia meninggal dunia memaparkan Maradona sedang berjalan dengan bantuan dua lelaki, manakala individu ketiga mengikuti di belakang sambil menyorong kerusi roda.

Maradona meninggal dunia kerana kegagalan jantung dan masalah paru-paru berair dua minggu selepas dia keluar dari hospital.

Pendakwaraya sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kecuaian perubatan sewaktu dia mendapatkan rawatan.

Fokus siasatan sama ada rawatan yang diterima di rumah sewanya sesuai untuk pesakit yang berada dalam situasi Maradona.

Bekas kekasih Maradona, Veronica Ojeda antara individu yang memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat.

Teman lelaki baharunya, Mario Baudry mendakwa, kematian bintang tersebut boleh dielakkan.

“Pada hari Isnin sebelum dia meninggal dunia, Diego ada memaklumkan kepada Veronica bahawa dia mahu bertemu dan telah pergi ke kediamannya.

“Tiada kelibat doktor pada ketika itu. Maradona tidak mempunyai bilik air biasa di dalam biliknya. Dia menggunakan tandas mudah alih, seperti yang digunakan di tapak perkhemahan.

“Bilik tersebut juga sangat kecil. Ia sangat tidak sesuai untuk Diego duduk di situ,” tambah Baudry.

Semalam, peguam kepada salah seorang jururawat Maradona mendakwa, legenda bola sepak Argentina itu ada terjatuh dan kepalanya terhantuk pada minggu lalu tetapi dia tidak pula di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Peguam Rudolfo Baque berkata: “Maradona tidak mampu untuk buat keputusan, selepas terjatuh, dia ditinggalkan bersendirian selama tiga hari di dalam biliknya, tanpa dipantau oleh sesiapapun dan dia juga tidak dibantu.”

Anak perempuan Maradona dilaporkan telah meletakkan kesalahan ke atas doktor peribadi bapanya, Leopoldo
Luque.

Pendakwaraya telah menggeledah pejabat dan kediaman doktor berkenaan, Ahad lalu, setelah siasatan jenayah diteruskan.

Dr. Luque mempertahankan kaedah rawatannya dan menegaskan, pemenang Piala Dunia itu sepatutnya berada di pusat pemulihan, tetapi Maradona sukar dikawal dan enggan pergi.

Dalam satu sidang akhbar penuh emosi, doktor itu berkata, Maradona sangat bergantung kepada pil dan alkohol.

“Dia menghukum dirinya dengan cara yang saya sendiri tidak akan benarkan, bukan sebagai doktor tetapi selaku sahabat.

“Anda ingin tahu apa tanggungjawab saya? Saya menyayanginya, sebab itu saya telah menjaganya, berusaha untuk memanjangkan umurnya dan memperbaiki kehidupannya hingga ke akhir,” jelasnya dalam linangan air mata.

Pakar neurologi itu turut mendapat sokongan daripada peguam Maradona, Matias Morla menerusi ciapan di Twitter.

“Saya faham tugas pendakwa tetapi hanya saya yang tahu, Dr. Luque, apa yang anda lakukan untuk kesihatan Diego, bagaimana anda merawatnya, menemaninya dan bagaimana anda menyayanginya.

“Diego mencintai anda dan sebagai sahabat, saya tidak akan meninggalkan anda sendirian

“Anda meninggalkan darah, keringat serta air mata dan kebenaran selalu menang,” kata Morla.

Kediaman dan pejabat pakar psikiatri Maradona, Agustina Cosachov juga digeledah, semalam. Bintang itu dilaporkan telah diberi ubat termasuk tekanan perasaan dan antipsikotik yang digunakan untuk merawat gangguan bipolar serta skizofrenia.

Pakar kesihatan menyatakan bahawa ubat-ubatan tersebut boleh memberi tekanan kepada jantung Maradona.

Doktor pakar juga mendakwa bahawa ambulans seharusnya ditempatkan di luar rumah sewa Maradona 24 jam sehari sekiranya ada sebarang masalah setelah dia keluar dari hospital tetapi nasihat itu nampaknya tidak diendahkan. – The Sun – SM

(Visited 415 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button