Bola SepakSukan

Makan bola, tidur bola

LAMA saya menanti kebangkitan semula bolasepak Malaysia tetapi selepas berdekad lamanya, kebangkitan itu tak kunjung tiba. Saya bimbang persembahan baik satu atau dua perlawanan dibawah kendalian jurulatih Korea Selatan ini akan dianggap sebagai kebangkitan sedangkan tugas kearah itu masih jauh. Sebagai seorang yang meminati bolasepak dan guru yang melihat bakat bakat murid di sekolah, saya boleh merumus kejatuhan bolasepak Malaysia kepada beberapa perkara :

1. Penubuhan sekolah program bolasepak di setiap daerah telah merencatkan kemunculan pemain berbakat. Ini adalah kerana saban tahun, sekolah program bolasepak ini akan menjadi juara dan sekolah-sekolah lain tidak berasa berbaloi mengasah bakat di sekolah mereka kerana pemain terbaik mereka akan dicuri untuk ke sekolah program daerah tersebut. Jadi pertandingan di peringkat daerah menjadi hambar dan sekolah menyediakan pasukan kerana terpaksa sahaja. Sepatutnya kajian dibuat selepas beberapa tahun perlaksanaan bagi penambahbaikan. Adalah lebih baik setiap sekolah dijadikan tempat mencungkil bakat dan yang terbaik dikumpul terus di sekolah sukan.

2. Malaysia sering melantik jurulatih yang salah untuk melatih pasukan kebangsaan. Perlantikan jurulatih sepatutnya mengambil kira kemahiran yang dimiliki pemain. Sebagai contohnya jika para pemain Malaysia sejak mula belajar menendang bola suka bermain dengan menyimpan bola dan menunjukkan kemahiran menggelecek, maka tidaklah boleh melantik jurulatih yang suka permainan kick and run ala EPL. Tugas jurulatih adalah melihat kemampuan pemain dan menyusun strategi permainan mengikut kemahiran yang sedia dimiliki.

3. Semua orang tahu bahawa politik dan bolasepak tidak boleh dianggap sebagai pasangan sejati. Berpuluh tahun kita bercakap mengenainya tetapi masih banyak pasukan mengharapkan sokongan politik kerana di situlah mereka mengharapkan dana bagi menggerakkan pasukan mereka. Malangnya ramai ahli politik kita yang buta politik. Inikan pula untuk mengendalikan pasukan bolasepak. Kita mempunyai ramai orang-orang kaya bertaraf jutawan hebat tetapi mereka tidak minat untuk melabur dalam pasukan bolasepak seperti apa yang dilakukan oleh TMJ untuk pasukan JDT.

4. Kita tidak punya seorang pemain bertaraf dunia yang boleh menjadi ‘ikon’ kepada anak-anak muda untuk tercetusnya kelahiran bintang-bintang baru. Lihat kepada Korea Selatan. Mereka punya banyak bintang bermain di liga bertaraf dunia bermula dengan Cha Bum Kun ( seangkatan dengan Mokhtar Dahari) yang pernah bermain untuk Bayer Leverkusen dan Eintract Frankfurt. Bayangkan jika Mokhtar dan beberapa pemain Malaysia satu masa dahulu dibenarkan bermain di luar negara, pasti akan menjadi ikutan kepada yang lain.

5. Kita juga tidak mempunyai sistem ‘talent-scouting’ yang berkesan. Di England dan negara negara bolasepak yang lain, talent-scouting ini merupakan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Jika seseorang talent scout ini berjaya menemui seorang pemain muda berbakat, dia boleh mendapat bayaran lumayan sekiranya pemain itu mencapai satu tahap yang tinggi untuk sesebuah kelab ternama. Mereka juga akan mendapat bonus sekiranya pemain mereka berjaya membantu pasukannya memenangi sesuatu piala besar. Inilah antara yang dikatakan sebagai add-ons dalam klausa perpindahan seseorang pemain.

Jika FAM serius dalam meningkatkan mutu bola sepak negara, mungkin mereka boleh mengadakan pertandingan mencari bakat dan pemenang (talent scout) kepada pertandingan ini akan menerima sejumlah wang yang besar agar ramai yang akan bersungguh sungguh untuk mencari bakat yang terpendam ini. FAM bolehlah bekerjasama dengan Kementerian Belia Dan Sukan dan Kementerian Pendidikan dalam usaha kearah ini.

FAM juga boleh menggalakkan pertandingan ‘sunday football’ bagi kanak-kanak berusia 5 tahun keatas dalam usaha mencari bakat seperti yang diamalkan di England. Ini secara tidak langsung akan mengatasi masalah padang bolasepak yang terbiar dan kosong di waktu petang. Tidak seperti di tahun 1960an dan 1970an dahulu.

(Visited 675 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button