Nasional

Boleh balik beraya, pintu sempadan Msia-Thailand dibuka tak lama lagi

“KITA akan buka sempadan tak lama lagi. Sekarang dalam proses untuk yakinkan rakyat kita, yang datang dari luar tak bahayakan kita kerana ada dua vaksin. Lama yang tak balik, bolehlah. Raya ni, boleh baliklah,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil disambut tepukan hadirin yang hadir dalam pertemuan beliau dengan Keluarga Malaysia di Bangkok, Thailand, hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri mengadakan lawatan rasmi sulung ke Thailand dan bertemu dengan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha bagi mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia dan Thailand.

Menurut Ismail Sabri, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Prayut mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan di antara kedua-dua negara.

“Dalam hal ini, saya dan Perdana Menteri Prayut telah bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan untuk membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand,” katanya dalam sidang media bersama Prayut.

Ismail Sabri berkata, “sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.

“Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang,” ujarnya.

Katanya lagi, Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao. Ini termasuk semua CIQ di utara semenanjung dan Selatan Thailand dan VTL-Laut di antara Langkawi-Satun, katanya.

“Ini sudah tentu akan dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan,” kata Ismail Sabri.

Pertemuan di antara kedua-dua pemimpin negara turut menyentuh tentang projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand iaitu pembinaan Jajaran Jalan Menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

Selain itu, Ismail Sabri dan Prayut turut berbincang mengenai pembinaan jambatan persahabatan kedua merentasi Rantau Panjang-Sungai Golok dan jambatan baharu untuk Pengkalan Kubor-Tak Bai yang mana jambatan berkenaan akan disegerakan pembinaannya.

“Kami berdua bersetuju agar agensi berkaitan dapat menyegerakan pembinaan projek-projek ini bagi kelancaran pergerakan rakyat dan barang-barang di antara kedua-dua negara.

“Kami juga mengulangi komitmen untuk meningkatkan kerjasama Malaysia dan Thailand di bawah kerangka IMT-GT terutamanya melalui pelaksanaan Projek Kesalinghubungan Fizikal (PCP) dan kepentingan kerjasama dalam Pertanian dan Industri Asas Tani, Pelancongan serta Produk dan Perkhidmatan Halal bagi merealisasikan Wawasan IMT-GT 2036,” jelas Ismail Sabri.

Mengenai keanggotaan Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam International Rubber Council (ITRC), Ismail Sabri berkata, beliau turut membangkitkan cadangan penawaran getah dalam negara masing-masing dikawal agar ia dapat memberi manfaat kepada negara anggota dan manfaat yang sama buat pekebun-pekebun kecil getah.

Ismail Sabri menambah, dalam perbincangan mengenai usaha pemulihan ekonomi, Thailand komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang 2025.

“Bagi tujuan ini, kami berdua berharap supaya Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (Joint Trade Committee – JTC) di peringkat menteri yang ketiga dapat diadakan secepat mungkin,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, Perdana Menteri Prayut juga bersetuju untuk meneroka peluang pelaburan baharu di kedua-dua pihak.

Beliau berkata, pelabur Thailand boleh meneroka sektor pelaburan baharu di Malaysia seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi circular.

“Manakala pelabur Malaysia boleh menceburi Model Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) dan sektor baharu lain seperti penyelidikan dan pembangunan vaksin, electric and smart vehicles, automasi dan robotik di Thailand,” kata Ismail Sabri.

Dalam perbincangan di antara kedua-dua Perdana Menteri, kata Ismail Sabri, Perdana Menteri Prayut bersetuju untuk meneruskan mekanisme dua hala yang sedia ada termasuk Rundingan Tahunan dan dua mesyuarat di peringkat Menteri iaitu Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan.

Mengenai isu serantau, Ismail Sabri memaklumkan, telah berbincang mengenai situasi di Myanmar.

“Kami bersetuju adalah penting bagi ASEAN untuk terus memainkan peranan positif dan konstruktif dalam mencari solusi aman dan berkekalan demi kepentingan Myanmar dan juga Komuniti ASEAN.

“Kami berkongsi pandangan yang sama bahawa adalah penting bagi Myanmar untuk bekerjasama dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan keperluan untuk memelihara kredibiliti dan integriti ASEAN. Kami berharap agar demokrasi akan dapat kembali di Myanmar,” jelas Perdana Menteri Ismail Sabri. – SM

(Visited 411 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button