Nasional

MARA serah SPRM, AGC buat keputusan

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) tidak pernah campurtangan dalam urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apa lagi mahu menarik balik pendakwaan terhadap tiga pegawai kanan MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) yang disyaki terlibat dalam salah guna kuasa.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, jika MARA ingin campurtangan ia boleh dilakukan pada awal urusan siasatan dilakukan oleh SPRM dahulu.

Menegaskan perkara tersebut menurutnya, MARA telah menyerahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan menyeluruh dan apa yang perlu mereka lakukan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Siasatan terhadap tiga pegawai kanan anak syarikat Mara ini telah selesai dijalankan oleh SPRM dan saya difahamkan fail mereka telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Tidak timbul sebenarnya kes ini akan digugurkan. MARA tidak campur tangan selepas kes ini di bawah SPRM. Segalanya kini adalah di bawah AGC untuk membuat pendakwaan,” ujarnya.


Beliau ditemui selepas melawat Kompleks Hijau Solar di Bandar Hijau, Ayer Keroh di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Urusan Gading Kencana Solar Farm, Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng.

Mengulas lanjut Azizah berkata, Mara menyerahkan kepada sebarang keputusan daripada SPRM dan AGC untuk mengambil tindakan atau pun tidak bagi mendakwa tiga pegawai kanan Mara Corp terbabit.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan AGC bakal menggugurkan kes membabitkan tiga pegawai kanan Mara Corp. Namun, SPRM menyangkal dakwaan itu malah, Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki menyatakan tiada sebarang makluman daripada AGC berhubung kes itu.

Pada Februari lalu, SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan integriti dan salah guna kedudukan membabitkan lima pegawai kanan (MARA).

Terdahulu, Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan mendesak AGC menyegerakan pendakwaan membabitkan tiga pegawai kanan MARA Corp yang disyaki terlibat dalam salah guna kuasa. – SM Melaka

(Visited 29 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button