Negeri

Sungai banyak buaya faktor kos bina jeti kayu RM50,000

PERSOALAN yang dilontarkan oleh netizen mengapa kos pembinaan jeti kayu di Kampung Mutap, Bekenu, Miri mencecah RM50,000.

Kos pembinaan jeti itu terpaksa mengambil kira banyak faktor termasuk keadaan laluan jalan dan langkah keselamatan.

Ini termasuk di sungai itu yang dipenuhi buaya. Demikian jawapan yang diberi oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

“Kayu belian yang digunakan untuk membina jeti itu bernilai RM9,000 semeter padu iaitu lebih rendah daripada harga pasaran.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” katanya.

Warganet sebelum ini mempersoalkan projek pembinaan jeti kayu itu yang dikatakan tidak sepadan dengan kosnya sebanyak RM50,000 dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Menurut kenyataan hari ini, JKR Miri mengadakan lawatan tapak pada 21 September 2021 lalu dan jeti keluli yang lebih mahal dicadangkan dibina memandangkan ia lebih teguh dan memakan ruang lebih kecil.

Cadangan itu ditolak oleh ketua kampung yang kemudiannya meminta jeti sepanjang 30 meter dibina yang lengkap dengan pondok.

Namun selepas diberitahu oleh JKR Miri bahawa permintaan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan kos terhad sebanyak RM50,000, beliau bersetuju dengan reka bentuk jeti yang bersesuaian dengan peruntukan tersebut.

“Ketua kampung turut memaklumkan bahawa sungai tersebut dipenuhi buaya dan kontraktor perlu mengambil langkah berjaga-jaga ketika kerja pembinaan jeti dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Kebimbangan lain termasuklah hakikat bahawa akses ke Kampung Mutap adalah melalui jalan ladang yang sukar dilalui.

JKR turut memaklumkan bahawa susulan proses cabut undi pada 30 November 2021, kontrak dianugerahkan kepada Syarikat Bukit Balat pada 7 Mac 2022. Projek dijangka siap pada 6 Jun 2022 ini.

“Projek berjaya disiapkan pada 1 April 2022 dan pemeriksaan tapak terakhir dilaksanakan bersama oleh JKR Miri, ketua kampung dan kontraktor,” katanya.

Katanya lagi, kerja yang dilaksanakan kontraktor dianggap memuaskan. Sehubungan itu, jeti kayu belian terbabit kemudiannya diserahkan kepada ketua kampung.

JKR Sarawak sebelum ini memaklumkan bahawa projek pembinaan jeti di kampung tersebut dilaksanakan bawah inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar bagi menggantikan jeti lama yang rosak dan tidak dapat digunakan lagi. – SM

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button