NasionalNegeriTravel

Malaysia Airlines promosi Perlis dalam “Going Places”

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan penghargaan kepada Malaysia Airlines berhubung artikel destinasi pelancongan menarik di Perlis dalam majalah rasminya “Going Places” pada Julai depan.

Majalah “Going Places” ini disediakan untuk setiap penumpang Malaysia Airlines sama ada penerbangan domestik atau antarabangsa.

Kurma Daging Perlis menjadi menu Promosi Masakan Perlis yang berkenan dilancar Tuanku Syed Faizuddin Putra. – Gambar YTSP Perlis

Laporan tersebut menampilkan pelbagai maklumat mengenai budaya, warisan, masakan dan tempat-tempat menarik di Perlis.

Antaranya mengenai asal usul Bandar Kangar, keindahan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, sajian juadah istimewa di restoran-restoran seperti Api-Api Ikan Bakar, Ngulang Kopitiam, Ahli Kopi Kangar, selain lokasi melawat popular di Wang Kelian View Point dan Taman Negeri Perlis serta banyak lagi.

Demikian kenyataan media oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas Baginda berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Keberangkatan tiba Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah; Sharifah Farah Adriana; dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh pemilik restoran, Doris Gozali.

‘Kurma Daging Perlis’ akan disajikan dalam menu restoran berkenaan selama dua minggu bagi terus memperkenalkan Perlis sebagai destinasi pelancongan Eko, Sempadan Malaysia-Thailand, Makanan dan juga Pendidikan bagi pasaran Sumatera Utara untuk era pasca Covid-19 khususnya dalam membina momentum persiapan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 tahun hadapan.

Ia dijayakan pada kali ini atas inisiatif Baginda berdua sendiri melalui kerjasama YTSP Perlis dengan restoran berkenaan, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis dan juga BMC Travel.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, walaupun media sosial kini menjadi medium popular untuk tujuan apa-apa promosi, namun, penulisan dan fotografi berkualiti dan berimpak di dalam sesebuah majalah atau akhbar masih lagi memainkan peranan yang sangat penting dalam mempromosikan mana-mana lokasi yang menarik dan budaya masyarakat setempat.

Pemangku Raja bertitah, budaya juga berkait rapat dengan sajian makanan dan juga aktiviti yang hanya terdapat di sesuatu kawasan.

“Dalam konteks negeri Perlis, melalui penulisan yang menarik dan gambar yang memberikan gambaran sebenar sesuatu destinasi atau sajian makanan juga dapat menarik dan menggalakkan lebih ramai para pelancong berkunjung ke negeri ini untuk menikmati keunikan serta pengalaman yang hanya akan didapati di negeri ini,” titah Baginda.

Untuk rekod, terakhir sekali Baginda merasmikan Promosi Masakan Perlis di Medan ialah di Hotel Soechi pada tahun 2013. – SM

BACA Raja Muda Perlis: Promosi pelancongan berterusan dalam bahasa Thai

BACA Lanskap alam semula jadi Perlis jadi tarikan pelancong

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button