Nasional

MARA peruntuk hampir RM20 juta laksana program keusahawanan

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memperuntukan hampir RM20 juta bagi melaksanakan program keusahawanan di negeri Kedah.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu termasuk kemudahan pembiayaan yang mensasarkan 1,033 usahawan.

“MARA sentiasa berusaha untuk menambahbaik ilmu keusahawanan dan kemahiran baharu sebagai persediaan kepada usahawan dibawah kawal selianya untuk kembali berdaya saing selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kebanyakan usahawan berjaya membuktikan, mereka dapat menguruskan perniagaan dengan lebih cekap menerusi latihan yang dilaksanakan oleh MARA.”

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Usahawan MARA dan Perasmian Program Keusahawanan MARA 2022 pada satu majlis di Langkawi semalam.

Turut hadir, Senator Datuk Othman Aziz, yang juga Pengerusi MARA Corporation dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Program selama tiga hari itu menghimpunkan 200 orang usahawan dari seluruh negara. Peserta akan didedahkan dengan modul Pemasaran Tanpa Kos (Zero Cost Marketing) seperti menerusi aplikasi media sosial Tiktok dan Business Whatsapp. Peserta juga didedahkan dengan Program Khas Industri iaitu Aspirasi Pendigitalan Automotif (MyAuto Digital).

Bagi usahawan yang berpotensi menembusi pasaran global pula, mereka didedahkan dengan Program Food Facility Registration, US Food & Drugs Administrations (FFR, USFDA).

“Usaha MARA mengadakan program seumpama ini lebih memfokuskan kepada pendigitalan perniagaan dan ia merupakan satu usaha yang baik kepada usahawan khususnya bagi mereka di luar bandar dan juga tidak mempunyai premis perniagaan.”

MARA sebelum ini jelas Mahdzir, telah melaksanakan beberapa program ke arah pendigitalan perniagaan seperti Program DigitalBiz dan Go Cashless di semua premis perniagaan MARA.

Bagi Program Go Cashless peringkat negeri Kedah yang dilancarkan hari ini, ia merupakan ‘Projek Rintis’ yang dilaksanakan kepada semua penyewa premis MARA di negeri itu.

Setakat ini, seramai 217 usahawan yang menyewa premis MARA telah menggunakan aplikasi tersebut.

Bagi Program DigitalBiz, MARA menyediakan peruntukan RM5 juta kepada usahawan peserta program itu dengan empat skop utama iaitu Transformasi Digital, Pemasaran Digital, Pembuatan Digital dan Kit Permulaan Digital.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Jualan Tahun 2021 PMB Investment Berhad kepada tiga usahawan yang berjaya mencatat nilai jualan melebihi RM11 juta setahun.

Turut disampaikan replika cek dan surat tawaran kepada tiga orang penerima Skim pembiayaan DanaNITA, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Program Galakan Eksport Bumiputera.

Ketiga-tiga kemudahan pembiayaan keusahawanan MARA itu membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.05 juta. – SM

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button