Nasional

Berhenti sebar visual, video tragedi pesawat terhempas, MCMC ambil tindakan

JADILAH rakyat Malaysia yang bersifat perikemanusiaan dan tragedi malang yang berlaku semalam apabila pesawat terhempas di bandar Elmina, Shah Alam, Selangor bukanlah suatu kejadian yang boleh dimomok-momokkan.

Komen yang dilontarkan ada yang menyakitkan hati seperti mengungkap baris ayat seperti “makan rasuah… inilah yang berlaku…bla…bla.. bla…”

Apakah bentuk komen seperti itu yang diharapkan daripada netizen atau masyarakat sedangkan nahas yang berlaku itu merupakan satu tragedi yang amat mendukacitakan.

Tidak kena atas batang hidung sendiri, sedap mengata dan mengarut yang bukan-bukan.

Kalau terkena ahli keluarga sendiri, adakah anda akan bersikap kurang ajar dengan melontarkan komen yang tidak sepatutnya dizahirkan menerusi lisan?

Kalau pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan perkongsian gambar atau video mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas pada petang semalam, ia satu langkah yang amat wajar.

Bukan setakat mengambil tindakan undang-undang tetapi dikenakan denda yang berat sebagai satu pengajaran kepada mana-mana individu yang melakukan komen berbaur negatif.

Dalam hal ini, ramai yang mahu melihat MCMC bersikap tegas dalam membuat tindakan bukan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan dan tindakan yang diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Cari betul-betul individu yang membuat perkongsian gambar atau rakaman video mangsa nahas.

Ini bukan soal melanggar prinsip dan etika tetapi penyebaran dan penularan visual sebenarnya menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa.

Pengamal media yang membuat liputan juga perlu menjaga bukan sahaja etika tetapi adap dalam bertanya soalan kepada waris mangsa.

Semua pihak menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas pesawat itu.

MCMC meminta semua pihak membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu,manakala dua lagi yang turut terkorban merupakan orang awam iaitu masing-masing seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.48 petang.

Hanya dua minit sahaja lagi mahu mendarat, secara tiba-tiba pesawat tersebut terhempas.

Rakyat Malaysia berdukacita, bersedih, bersimpati dengan keluarga kesemua mangsa tanpa mengira sama ada yang terkorban itu ialah orang yang berpangkat dan berkedudukan ataupun penunggang motosikal.

Sama-samalah kita sedekahkan AlFatihah buat semua mangsa. – SM

BACA Pesawat terhempas di Elmina Central Park, Shah Alam

BACA Datuk Seri Johari Harun antara yang maut pesawat terhempas di Elmina?

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button