Ekonomi

MARA Corp diberi tanggungjawab hidupkan MARA Digital Mall

MENYAHUT seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan MARA Digital Mall diteruskan, Mara Corporation (MARA Corp) hari ini diminta menganjur lebih banyak program yang melibatkan penyertaan golongan belia pada setiap hujung minggu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, program seumpama itu akan dapat mempromosikan lagi pusat beli-belah barangan teknologi digital tersebut.

“Saya nak syorkan kepada MARA Corporation kalau boleh hujung minggu minta kerjasama DBKL tutup jalan di depan Mara Digital.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto: UKK KPLB

Boleh buat macam-macam program dengan anak-anak muda. Tapi itu kena ada kerjasama di antara DBKL dengan MARA.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Jelas Mahdzir, penganjuran program yang pelbagai di persekitaran MARA Digital Mall itu akan menarik penglibatan generasi muda khususnya golongan Bumiputera untuk berniaga di situ.

Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di majlis tersebut. Foto: UKK KPLB

MARA Corp katanya boleh melaksanakan program itu dengan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Satu perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan diadakan bagi memperincikan syor tersebut.

Semalam, Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut ke MARA Digital Mall bersama Mahdzir dan beberapa pegawai tinggi MARA.

Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan MARA meneruskan projek Digital Mall itu bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).

Beliau mendapati peniaga yang ada di MARA Digital Mall mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.

Untuk rekod, Mara Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri semasa beliau menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada tahun 2015. – SM

Artikel berkaitan > PM arah MARA teruskan projek MARA Digital

(Visited 439 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button