fbpx
JenayahNasional

MAQIS rampas ayam import diragui status halal

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas ayam sejuk beku bernilai lebih RM187,000 yang tidak mematuhi syarat import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lepas.

Pengarah MAQIS Kedah Lily Rosalind Paul berkata barangan itu ditemukan di dalam sebuah lori kontena dari negara jiran yang melalui pintu masuk negara itu pada 2.20 petang.

“Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai MAQIS telah menemukan sebanyak 2,600 kotak keratan ayam sejuk beku dengan berat keseluruhan 31,200 kilogram yang disusun di dalam kontena tersebut dan dianggar bernilai RM187,210.

“Semua ayam sejuk beku itu tidak mematuhi syarat import kerana dipercayai daripada pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kegagalan mematuhi syarat import adalah kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.


Katanya, MAQIS akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengelakkan isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak. – BERNAMA

(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button