Berita

MAPS tutup akibat skandal kerajaan dulu tuduhan berniat jahat – Zambry

IPOH 29 Jan. – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat fitnah kononnnya penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini disebabkan berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menurutnya, tuduhan itu adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu.

Beliau berkata, tidak cukup membina persepsi jahat dengan mencipta istilah ‘Mini 1MDB’, pihak berkenaan melemparkan tuduhan serius mengaitkan beliau dengan dakwaan skandal yang tidak berasas sama sekali.

“Saya tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa sekiranya berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Malangnya, adalah amat mendukacitakan apabila ia dijadikan perkakas politik untuk tujuan dan matlamat meruntuhkan maruah dan keaiban oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan mendapatkan nasihat dan pandangan perundangan dan akan mengambil tindakan susulan terhadap cubaan untuk berbohong, memfitnah dan merosakkan nama saya oleh individu dan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zambry turut mengalu-alukan sebarang laporan audit tentang kedudukan MAPS sejak 2013 hinggalah 2019.

Menurutnya, setiap akaun tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah.

“Seperti yang semua sedia maklum MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam (public listed company) yang mana semua keputusannya berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

“Ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti dan garis panduan Corporate Governance yang ditetapkan. Dan Saya bukanlah Pengerusi atau Ahli Lembaga kepada syarikat ini,” katanya.

MAPS ditutup mulai semalam sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Menurut notis berkenaan, segala kesulitan akibat penutupan MAPS amat dikesali.

MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017. – Perak Gazette

(Visited 580 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button