Berita

Mantapkan pengetahuan digital sebagai rutin kerja – Raja Muda Perlis

 

Dunia kini bergerak pantas ke hadapan dan kita sedang melalui proses transformasi digital yang begitu pesat. Oleh itu, apa yang kedengaran ‘janggal’ seperti GDRIVE, GMEET, dan UniSIS perlu dibiasakan oleh semua. Sekarang adalah zaman digital dan masyarakat juga perlu berubah mengikut peredaran ini. Oleh itu, mantapkanlah pengetahuan berkaitan digital dengan menjadikan ia rutin dalam melaksanakan sesuatu proses kerja.

Pada masa yang sama, para pekerja di segenap peringkat adalah diseru agar melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai jurusan dan tidak hanya tertumpu pada bidang kerjaya semata-mata selain berintegriti dan beramanah dalam melaksanakan sebarang tugas yang dipertanggungjawabkan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di ‘Majlis Santapan Malam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2021’ yang diadakan di Taman Buah-Buahan Eksotik Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Sungai Batu Pahat.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor ke majlis yang bertemakan ‘Venezia-Italia’ pada kali ini itu disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad serta pengurusan tertinggi universiti.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, teras yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UniMAP 2025 wajar diberikan perhatian yang serius oleh seluruh warganya.

‘Pelbagai aspek perlu dilihat bagi terus memantapkan lagi nama UniMAP bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa. Walaupun dalam situasi COVID-19, universiti ini perlu terus memikirkan mekanisme untuk meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dengan pihak dari luar agar terus dikenali. Ini sekaligus melayakkan UniMAP untuk meraih pengiktirafan antarabangsa dalam bidang penyelidikan, akademik dan sebagainya’ jelas baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP.

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button