Alam SekitarRencah Hidup

Mantan KSU labur wang persaraan pasang panel solar di rumah

BAGI setengah-setengah orang pemasangan panel solar bagi penjanaan tenaga elektrik bukan semata-mata bertujuan untuk penjimatan pembayaran bil dan bagi pemuliharaan alam sekitar.

Lebih daripada itu pemasangan sistem fotovolta suria (FV) di kediaman dianggap sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang yang akhirnya memberi keuntungan kepada si pemilik.

Maka tidak hairan apabila ada yang menggunakan sejumlah kecil wang persaraan mereka sebagai satu bentuk pelaburan dengan memasang panel solar di bumbung rumah masing-masing.

Tidak terkecuali mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya yang telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada November 2019.

Azhar berkata, ketika berada dalam perkhidmatan bil elektrik di kediamannya dilunaskan oleh kerajaan namun selepas tamat perkhidmatan dan perlu membayar sendiri baharu beliau menyedari bil elektrik yang digunakan agak tinggi.

“Sebelum ini bil semua kerajaan yang bayar. Bila kita dah bersara dan bil itu kita bayar sendiri. Kita menghargai bil lah. Jadi bila bil kita mencecah RM500… lebih RM600 terfikir kepada saya apa cara boleh berjimat.

“Mungkin sebab saya pesara adalah sedikit tunai di tangan jadi saya gunakan wang persaraan ini sebagai modal untuk pelaburan saya. Sebab saya kata ok, saya gunakan sebahagian wang pencen, saya labur. Dalam lima enam tahun lepas tu dapat pulangan,” kata Azhar.

Beliau menggunakan perkhidmatan syarikat tenaga boleh diperbaharui, Gading Kencana Sdn. Bhd. bagi pemasangan panel solar di rumahnya yang terletak di Puncak Pinggiran Putra, Kajang, Selangor.

Dengan kos kira-kira RM30,000 rumah dengan tujuh bilik yang telah didiami kira-kira lima tahun itu dipasang 16 panel solar berkapasiti 6 kilowatt kira-kira tiga minggu lalu.

“Saya pun terperanjat juga dalam masa satu hari siap pasang. Mereka gunakan kren untuk mengangkat solar ke bumbung. Kemudian mereka pasang landasan, bingkai di atas bumbung untuk meletakkan solar panel. Dalam tempoh satu hari siap. Hari kedua mereka hanya betulkan inverter. Itu sahaja. Jadi cepat.

“Bila sahaja selesai pemasangan panel solar ramai jiran-jiran saya tanya, semua berminat dan nak dapatkan lebih maklumat tentang pemasangan panel solar. Nasihat saya kalau bil lebih RM500 memang berbaloilah labur wang pasang panel solar,” kata Azhar tersenyum.

Azhar yang kini Pengerusi Kumpulan Modal Perdana Sdn. Bhd. berkata, dia bernasib baik kerana dapat menggunakan kuota Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 2.0 bagi pemasangan panel solar tersebut.

Ini kerana seminggu selepas beliau membuat permohonan pada Disember tahun lalu kuota NEM 2.0 sebanyak 500 megawatt telah habis dilanggan.

Dia tidak menolak kemungkinan orang ramai berebut memasang panel solar kerana bil elektrik meningkat selepas ramai isi rumah hanya tinggal di kediaman masing-masing ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Pengarah Urusan Gading Kencana Datuk Ir. Dr. Guntor Tobeng (kanan) menerangan peralatan inverter kepada Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar.

 

Kerajaan ketika ini telahpun melaksanakan NEM 3.0 bagi tempoh tahun 2021 hingga 2023. Di bawah  Program NEM Rakyat kerajaan memperuntukkan kuota sebanyak 100 megawatt untuk pemasangan panel solar di rumah.

Pengguna domestik yang memasang sistem fotovolta suria (PV) di bumbung premis akan menggunakan tenaga yang dihasilkan terlebih dahulu dan lebihan tenaga yang dihasilkan akan dieksport ke grid Tenaga Nasional Berhad.

Kredit yang diterima daripada lebihan tenaga tersebut akan digunakan semula untuk mengimbangi bil elektrik pengguna berdasarkan imbangan “one-on-one offset” dalam tempoh 10 tahun pengoperasian.

Untuk keterangan lanjut berkaitan Program NEM Rakyat dan langganan panel solar daripada syarikat Gading Kencana boleh layari laman web https://solarrakyat.com/ -SM

 

 

 

(Visited 1,929 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button