BeritaNasionalPolitik

Mansuh elaun kritikal tak munasabah – Pas

Pas hari ini menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menarik balik pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan pemansuhan tersebut tidak munasabah berbanding kondisi semasa  dihadapi sebilangan penjawat awam terlibat.

“BIPK telah diperkenalkan sejak pelaksanaan Sistem Saraan Baru pada 1 Januari 1992 dan melibatkan sekurang-kurangnya lebih 35 skim perkhidmatan seperti jurutera, jururawat dan pegawai perubatan.

“Pas yakin kajian setiap lima tahun terhadap BIPK akan mendapati tahap kritikal bagi beberapa skim tidak berubah terutama dalam sektor kesihatan awam.

“Mereka terdedah dengan keadaan persekitaran yang berisiko dan pasaran buruh yang sangat tenat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia juga telah memaklumkan bahawa para doktor dan jururawat di hospital serta klinik kerajaan berisiko ‘burnout’ disebabkan tekanan kerja dan kekurangan staf.

“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan juga bercadang untuk membekukan pengambilan staf baharu. Kitaran ini akan terus memangsakan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan pada hari ini,” katanya.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam memperuntukkan elaun untuk 33 skim perkhidmatan kritikal penjawat awam dimansuhkan.

Bayaran yang dimansuhkan adalah bayaran insentif angkat najis, bayaran insentif menaip Jawi, elaun keraian kepada setiausaha sulit dan setiausaha sulit kanan dan elaun khas penolong pemungut hasil tanah.

Turut dimasukkan adalah bayaran elaun operator generator elektrik, elaun penyelia bilik taip, elaun tilikan trigonometric observation, insentif profisensi bahasa Inggeris dan bayaran insentif perkhidmatan kritikal.

JPA memaklumkan pemansuhan BIPK  melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020 dan penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dengan pemansuhan tersebut.

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button