Travel

Rasai pengalaman menaiki roket di Tasik Ayer Keroh Mac ini

MELAKA 17 Februari – Jika anda ingin merasai pengalaman seperti menaiki sebuah roket dan terawang di udara bagaikan adegan adegan sebuah filem action datanglah ke Tasik Ayer Keroh, Melaka.

Pengalaman terawang-awang di udara di tengah-tengah Tasik Ayer Keroh pastinya cukup mengujakan dan pertama kali aktiviti tersebut diperkenalkan dalam usaha menarik pengunjung yang datang dari luar negeri ini.

Aktiviti Flyboard adalah produk terbaharu paling unik bakal diperkenalkan kepada pengunjung bermula Mac ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shahdan Othman, aktiviti berkenaan bakal menjadi tarikan baharu kepada pelancong dari dalam dan luar negeri ini untuk merasai pengalaman seperti menaiki sebuah roket.

Katanya, usaha memperkenalkan tiga Flyboard yang boleh dinaiki pengunjung Mac ini adalah salah satu usaha untuk merancakkan aktiviti pelancongan di sekitar Ayer Keroh terutama di kawasan tasik yang sepi sejak tiga tahun lalu.

“Hampir tiga tahun Tasik Ayer Keroh sepi selepas semua aktiviti sukan air seperti paddel boat dan kayak dihentikan dan keadaan itu menjadikan kawasan berkenaan sepi tanpa pengunjung pada setiap cuti hujung minggu dan kelepasan am.

“Namun kita hidupkan semula kerancakan aktiviti sukan air di tasik ini untuk paddel boat, kayak dan jeti ski diadakan semula dan paling unik serta menarik kepada pengunjung ialah Flyboard yang pertama kali diperkenalkan,” ujarnya di sini hari ini.

Shahdan berkata, orang ramai tidak perlu risau menggunakan Flyboard itu kerana ia mempunyai ciri keselamatan seperti jaket keselamatan, topi keledar dan ia dikawal oleh seorang kakitangan yang berada di atas bot lain.

Katanya, sebelum pengunjung menaikinya, satu taklimat keselamatan akan diadakan bagi memastikan mereka mematuhinya prosedur yang ditetapkan bagi mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Shahdan berkata, pihaknya telah melantik sebuah syarikat untuk mengendalikan aktiviti tiga buah Flyboard tersebut yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Katanya, produk terbaharu itu bakal menjadi tarikan berdasarkan ujian yang telah dijalankan di tasik berkenaan baru-baru ini.

Mengenai kadar caj yang akan dikenakan kepada pengunjung beliau berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan lagi.

“Pada masa ini kita sedang menyediakan pengkalan untuk meletakkan Flyboard, bilik taklimat keselamatan dan kawasan persekitaran tasik mula diperindahkan,” ujarnya lagi. -SM

(Visited 575 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button