PenyakitRencah Hidup

Mangsa terbaharu rabies di Sarawak tidak ada sejarah digigit haiwan

SEORANG lagi menjadi mangsa penyakit anjing gila atau rabies di Sarawak menjadikan keseluruhan lima kes tersebut tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaharu melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun.

Mangsa telah meninggal dunia pada 20 Oktober pada pukul jam 6.53 pagi. Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Lelaki tersebut telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 15 Oktober lalu selepas mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan.

Mangsa juga mengalami kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum sebelum dimasukkan ke hospital.

Dr. Noor Hisham berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah digigi anjing atau haiwan lain.

“Beliau ada memelihara tujuh ekor kucing di mana limaekor telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehari selepas kes ini mengalami gejala.

“Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurut Dr. Noor Hisham walaupun kes tersebut tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan namun secara umum jangkitan rabies disebabkan oleh gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies (rabid animal).

Wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017 dan kes terbaharu menambah jumlah korban kepada 27 orang.

“Sarawak masih belum bebas rabies. KKM ingin menasihati orang awam agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun haiwan peliharaan.

“Selepas mencuci bahagian tubuh yang digigit menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur. Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies,” kata Dr. Noor Hisham.

Jelas beliau KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.-SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button