Nasional

Raja Muda Perlis prihatin sikap masyarakat dalam mencegah Covid-19

Dalam mendepani cabaran Covid-19 yang terkini, jika tiada keperluan, kumpulan berisiko seperti warga emas, yang mempunyai penyakit kronik dan kanak-kanak disarankan tidak perlu pergi ke tempat tumpuan awam.

Jika perlu juga pergi, gunakan aplikasi MySejahtera setiap kali memasuki premis. Pemilik kedai juga hendaklah memainkan peranan dengan memastikan hanya pelanggan yang berisiko rendah dan telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk bagi mengurangkan sebarang penularan jangkitan berlaku.

Di pusat membeli-belah pula disarankan supaya tidak mengambil masa yang lama bagi mengurangkan kesesakan dan seterusnya juga meminimakan risiko penularan Covid-19. Di samping itu, sediakanlah senarai barangan yang perlu dibeli sejak di rumah lagi sebelum keluar.

Demikian titah peringatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih yang mana masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Muttaqin, Padang Besar Kurong Anai, Changkat Jawi untuk diagihkan oleh amilnya, Ibrahim Ahmad.

Mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazri Mat Rejab.

Sementara itu, dalam sesi berasingan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim sekali lagi mengingatkan kepada rakyat di negeri Perlis supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu serta dapatkan rawatan segera jika bergejala dan tidak sihat.

Beliau turut menerangkan bahawa ‘Analisa pemetaan kes sporadik mendapati berkemungkinan penularan berlaku di tempat tumpuan awam disebabkan berlaku ketidakpatuhan SOP. Selain itu, terdapat juga kejadian kes Covid-19 dalam kalangan guru, kakitangan dan pelajar sekolah semenjak pembukaan sekolah baru-baru ini di negeri Perlis’.

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button