Alam SekitarBanjirNegeri

Mangsa banjir di Pantai Timur meningkat

JUMLAH mangsa banjir di Pantai Timur menunjukkan trend peningkatan dengan pertambahan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri tersebut.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menyaksikan peningkatan mendadak kepada 4,094 orang daripada 996 keluarga setakat pagi tadi berbanding 972 orang daripada 246 keluarga pada 4.30 petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, berikutan peningkatan jumlah mangsa itu, 23 PPS dibuka berbanding 10 petang semalam menjadikan jumlah terkini, 33 PPS.

“Kemaman daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 3,698 orang daripada 867 keluarga berbanding 824 orang daripada 199 keluarga sebelum ini. Terdapat 25 PPS di Kemaman ketika ini berbanding hanya 7 petang semalam.

“Keadaan ini disebabkan hujan berterusan berserta air pasang agak tinggi di laut. Implikasinya, air sungai tidak dapat mengalir ke laut dengan sempurna, ditambah pula kadar ketumpatan tanah telah tepu menyebabkan kadar serapan air agak lambat,” katanya ketika dihubungi.

Di Dungun, jumlah mangsa juga bertambah kepada 182 orang daripada 57 keluarga berbanding 148 orang daripada 47 keluarga petang semalam dan semua mereka kini berada di empat PPS di daerah itu.

Dua daerah terbaharu yang dilanda banjir ialah Hulu Terengganu melibatkan 212 orang daripada 71 keluarga di tiga PPS dan Setiu (dua keluarga di satu PPS).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my pula melaporkan sembilan sungai di lima daerah melepasi paras bahaya setakat 7.30 pagi tadi dengan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 19.55 meter (m) melebihi paras bahaya 18.5m; Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik setinggi 3.25m (paras bahaya 2.2m); dan Sungai Kemaman di Air Putih setinggi 14.39m (paras bahaya 14m).

Tiga sungai di Hulu Terengganu juga melepasi paras bahaya iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 20.67m (paras bahaya 19.7m); Sungai Berang di Kampung Menerong setinggi 25.01m (paras bahaya 24.5m); dan Sungai Peneh di Felda Mengkawang setinggi 37.81m (paras bahaya 37.5m).

Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu pula setinggi 21.08m berbanding paras bahaya 21m; Sungai Dungun di Pasir Raja setinggi 38.12m mengatasi paras bahaya 37.50m; dan Sungai Besut di Jambatan Keruak setinggi 35.04m berbanding paras bahaya 35m.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 531 orang daripada 138 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS setakat 8 pagi tadi, berbanding 456 mangsa malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga daerah terkesan dengan Kuala Krai masih kekal mencatat bilangan mangsa tertinggi seramai 246 mangsa daripada 61 keluarga dan sembilan PPS dibuka, manakala Tanah Merah melibatkan 131 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di tujuh PPS serta Pasir Mas merekodkan 154 orang daripada 40 keluarga di empat PPS.

Sementara itu, berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras air sungai di tiga daerah melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi tadi.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan paras air 10.25m melepasi tahap bahaya sembilan meter manakala Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah merekodkan 23.84m (paras bahaya 23.50m); dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang menunjukkan bacaan 59.40m (bahaya 59.00m).

Selain itu, dua sungai menunjukkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pada paras 15.5m (amaran 14m) dengan trend meningkat dan Sungai Nal di Kuala Krai 24.37m (amaran 24m).

Tiga sungai pula mencatat bacaan melebihi paras waspada dengan trend menaik iaitu Sungai Pergau di Air Bol, Jeli mencatat 71.45m (waspada 71.3m); Sungai Kusial Baru, Tanah Merah merekodkan bacaan 14.81m (waspada 12.5m); dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu pada paras 3.03m (waspada 3m).

Cuaca di seluruh Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat dan berdasarkan keadaan setakat pagi tadi, dijangka lebih banyak PPS akan dibuka. – SM

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button