Rencah Hidup

Mangga harumanis subur di Terengganu

PERCAYA atau tidak, mangga harumanis sebenarnya sudah subur di Terengganu sejak 40 tahun lepas.

Mungkin ramai yang beranggapan jika berbuah sekalipun, saiz dan rasanya tidak mampu mencapai kualiti yang sama seperti sedia ada di pasaran serta tidak mampu dieksport ke pasaran luar negara.

Jika itu telahannya, ia sebenarnya meleset sama sekali kerana buah yang telah dipetik di kawasan Pusat Pembangunan Komoditi Rhu Tapai didapati mencapai gred premium dan tahap kemanisan sehingga 22 peratus brix.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, tanaman yang telah bermula sejak November 2016 itu diusahakan Jabatan Pertanian Terengganu bagi menyelidik kesesuaian tanah bris (tanah berpasir) di kawasan itu.

“Apabila melihat kejayaan Jabatan Pertanian, saya telah mengarahkan mereka melakukan bancian di beberapa daerah yang mempunyai tanah bris dan akhirnya menemui pokok harumanis yang telah lama di tanam oleh orang kampung.

“Daerah yang telah selesai dibanci ialah di Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Di setiap daerah itu kita temui kira-kira 100 pokok harumanis yang telah berusia antara 30 hingga 40 tahun serta berbuah tiga kali setahun,” katanya kepada BERNAMA, baru-baru ini.

Dr. Azman berkata, oleh kerana masyarakat di Terengganu tidak begitu mahir dalam mengesan kualiti buah, akhirnya buah itu gugur dan terbiar begitu sahaja malah ada yang menganggap ia kategori mangga biasa dan mas itam.

Projek permulaan di kawasan Rhu Tapai telah melalui proses penjagaan yang teratur hinggalah mampu mengeluarkan hasil pertama tiga tahun lepas dengan kualiti sepertimana ditanam di kawasan utara tanahair.

Ketika ditanya mengenai sasaran kerajaan negeri, beliau berkata, sudah tentunya sehingga buah berkualiti tinggi itu mampu dipasarkan ke luar negara kerana ia bukan sahaja mempelbagaikan hasil keluaran petani tetapi juga membawa pulangan berlipat ganda.

“Terengganu telah merangka Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019 hingga 2023 dan apa yang berlaku pada ketika ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri.

“Pihak jabatan kini turut bersama-sama dengan pelbagai pihak mengumpul mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman harumanis.

“Pertanian ini adalah satu kerjaya, jadi anak muda Terengganu bolehlah tampil untuk mendapatkan kursus yang dianjurkan.

“Saya tidak mahu ada program bagai ‘tangkap muat’ tetapi biarlah melalui proses awal hingga akhir dengan pemantauan teratur supaya semua pihak dapat melihat hasilnya,” kata beliau.

Mangga Harum Manis Ada Grednya, Lazatnya Bukan Sebarang Mangga - RASA

 

Menurut Dr. Azman lagi, Terengganu mempunyai sekitar 68,000 hektar tanah bris dan masih banyak yang terbiar.

Disebabkan itu pihaknya akan berusaha menjejak mereka yang berminat untuk meneruskan hasrat kerajaan dengan memberi bimbangan serta  bantuan dari sudut pasaran.

(Visited 858 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button