Nasional

Manfaatkan ruang kediaman dengan tanaman ikhtiar hidup – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar masyarakat memanfaatkan ruang dan tanah yang ada di sekeliling kediaman masing-masing dengan ‘tanaman ikhtiar hidup’ atau ‘basic agriculture’.

Titah baginda, ruang tanah atau halaman rumah boleh diusahakan dengan tanaman asas untuk kegunaan sendiri seperti sayur-sayuran, tanaman herba dan buah-buahan.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli kali ke 71 bagi tahun 2020 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis yang bermula dan berakhir di Dataran Perhimpunan Sekolah Agama Al-Islahiyah (Menengah) Behor Mali, Simpang Empat, Perlis baru-baru ini.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Hafizuddin Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sedang melihat inisiatif yang boleh dilaksanakan dalam menerapkan budaya amalan pertanian ikhtiar hidup di kalangan warga asnaf di negeri Perlis sekaligus dapat mempertingkatkan produktiviti masyarakat.


“Selain sebagai jaminan makanan bagi keluarga, aktiviti pertanian asas ini juga dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah di samping mampu menjana pendapatan sampingan sekiranya dikembangkan dengan sebaiknya,” titah baginda.

Menurut Tuanku Raja Muda lagi, pada setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan untuk mengimport hasil pertanian seperti sayuran dan buah-buahan. Jika petani tempatan dapat meningkatkan hasil tanaman, ditambah dengan amalan pertanian ikhtiar hidup di kalangan rakyat, maka nilai import dapat dikurangkan.

Selain bantuan agihan zakat oleh MAIPs, bersempena program tersebut pihak Jabatan Pertanian Negeri turut menyumbangkan input pertanian seperti pasu, tanah campuran, anak pokok sayuran cili bara, bendi serta biji benih sayuran daun seperti kangkung, sawi dan kailan kepada kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih yang disantuni.

(Visited 204 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button