Hiburan

Man Bai rekod semula lagu Kau Ilhamku kali ke tiga

ADA dua generasi sebenarnya yang kenal dengan nama Abdul Rahman Osman atau lebih dikenali dengan nama Man Bai.

Kumpulan pertama ialah mereka yang kenal Man Bai sebagai vokalis kumpulan Gersang dan kedua menerusi lagu Kau Ilhamku.

Malah, Man Bai sendiri mengakui yang lagu Kau Ilhamku adalah karya yang mengangkat dirinya semula dalam dunia seni selepas kumpulan Gersang dibubarkan.

Untuk rekod, selepas Gersang dibubarkan, Man Bai turut berehat daripada dunia seni akibat masalah tonsil yang dihadapinya.

Menurut Man Bai, lagu Kau Ilhamku juga adalah sebuah karya yang keluar pada 1995 dan kekal malar segar sehingga kini.


Disebabkan pengaruh lagu Kau Ilhamku juga, Man Bai mengambil keputusan untuk merekod semula lagu tersebut buat kali ketiga dengan judul Kau Ilhamku 2020.

“Menerusi KAU ILHAMKU 2020, saya cuba memberikan penghargaan sewajarnya kepada lagu yang pernah menaikkan semula nama saya pada suatu masa dahulu.

“Dengan memberikan nafas baharu kepada lagu ini dengan susunan muzik yang lebih gah, lagu ini menyajikan sajian muzik  yang lebih indah.

“Sesuai dengan maksud lagu ini yang mengangkat taraf seseorang yang menjadi sumber ilhamnya, saya cuba mengangkat taraf lagu ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kau Ilhamku kali pertama dirakam pada 1995, kemudian dirakam sekali lagi pada 2011 dengan versi baharu dan yang terbaharu pada tahun ini.

Menerusi KAU ILHAMKU 2020, lagu ciptaan Asmin Mudin ini diberi nafas baharu dengan terjemahan berbeza daripada rakaman asal.  KAU ILHAMKU 2020 diberikan susunan muzik segar oleh Man Bai bersama penerbit, komposer dan penyusun muzik terkenal Mac Chew.

Single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 4 Disember depan. Manakala video muzik rasmi Kau Ilhamku 2020 boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada hari sama. -SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button