Luar NegaraSukan

36 tahun menunggu bukan alasan, Argentina muncul juara Piala Dunia

ARGENTINA muncul juara Piala Dunia Qatar 2022 selepas menundukkan juara bertahan Perancis melalui penentuan sepakan penalti 4-2 di Stadium Lusail, Doha, sebentar tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi permainan yang penuh dramatik sebelum kedudukan terikat 3-3 pada masa tambahan, memaksa keputusan ditentukan melalui sepakan penalti.

Perlawanan yang disifatkan banyak pihak sebagai aksi Piala Dunia terbaik itu bermula dengan Argentina yang dikendalikan Lionel Scaloni mendominasi babak awal permainan. Mereka memperoleh gol pembukaan yang dijaringkan Lionel Messi melalui sepakan penalti pada minit ke-23.

Skuad La Albiceleste itu semakin garang sebelum menjarakkan diri melalui gol kedua disumbangkan Angel Di Maria pada minit ke-36.

Bagaimanapun Les Bleus tidak ingin ketinggalan lalu memberi tentangan sengit sebelum memperoleh gol pertama melalui sepakan penalti yang disempurnakan Kylian Mbappe pada minit ke-80.

Mbappe sekali lagi mengejutkan kem Argentina apabila merembat gol penyamaan seminit kemudian.

Perlawanan berlarutan ke masa tambahan sebelum menyaksikan Messi menjaringkan gol pada minit ke-109.

Enggan mengalah, Perancis menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Mbappe pada minit ke-118.

Kedudukan seri 3-3 kekal sehingga tamat masa tambahan memaksa penentuan melalui sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan Messi dan Mbappe mudah menyempurnakan penalti mereka.

Bagaimanapun, malang bagi Perancis apabila Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni gagal menyempurnakan sepakan, sebelum kemenangan Argentina dimuktamadkan oleh sepakan penalti Gonzalo Montiel.

Kemenangan ini mengakhiri kemarau Piala Dunia selama 36 tahun bagi Argentina selepas kali terakhir menjulangnya pada tahun 1986.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam ciapan ringkas di laman Twitter sejurus tamat perlawanan, menyifatkan pertembungan kedua-dua pasukan malam ini sebagai perlawanan akhir Piala Dunia terbaik.

“The best #FIFAWorldCup Final ever,” katanya.

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button